Jangan ada kroni dalam bola sepak di peringkat akar umbi
Pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi merupakan asas kepada kemajuan sukan ini di negara kita, namun, salah satu isu yang sering menjadi halangan adalah amalan kronisme yang menghalang perkembangan bakat sebenar.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyokong anak-anak mereka mencapai potensi penuh, tetapi usaha ini perlu disokong oleh sistem yang telus dan adil di peringkat akar umbi.
Menurut bapa kepada salah seorang pemain di Ortan Cheras U9, Shah Fathihat menekankan bahawa akademi bola sepak perlu mengutamakan pembangunan bakat tanpa mengira hubungan atau pengaruh.
“Pembangunan akademi bola sepak sangat penting untuk mencungkil bakat-bakat dari bawah. Namun, janji jangan ada kroni dalam satu pasukan. Walaupun anak kita tak pandai main, jangan paksa dia jadi pemain utama. Beri peluang kepada yang layak,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau percaya bahawa akademi yang adil akan melahirkan pemain berkualiti yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Dalam pada itu, Shah turut berkata sokongan ibu bapa juga memainkan peranan besar dalam membina keyakinan dan semangat anak-anak.
“Sokongan ibu bapa sangat penting. Kita perlu beri dorongan dan pendedahan kepada anak-anak sejak kecil. Kalau mereka minat, kita kena bantu mereka untuk maju ke depan.”
Beliau sendiri mula memberi pendedahan kepada anaknya sejak usia enam tahun, memastikan anaknya bukan sahaja belajar asas bola sepak tetapi juga merasai pengalaman bermain dalam liga kompetitif.
“Anak saya ada peningkatan selepas sertai akademi. Walaupun ini kali pertama dia main liga seperti ini, saya yakin dia akan lebih baik pada masa akan datang.”
Sebagai seorang bapa, beliau tidak meletakkan tekanan kepada anaknya untuk mencapai tahap tertinggi dalam bola sepak, namun, jika ada peluang, beliau akan menyokong sepenuhnya.
“Kalau ada rezeki dan dia boleh jadi pemain profesional, saya galakkan. Tapi saya tidak akan memaksa. Yang penting dia minat dan dapat manfaat daripada sukan ini.”
akan memaksa. Yang penting dia minat dan dapat manfaat daripada sukan ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berharap agar lebih banyak akademi bola sepak ditubuhkan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak di peringkat akar umbi ia dapat membantu membangunkan bola sepak negara dengan menyediakan platform yang telus dan fokus kepada pembangunan bakat.