Tak perlu wujudkan kejohanan baru untuk asingkan pemain sekolah dengan akademi bola sepak

951

Baru-baru ini artikel Harimau Malaya bertajuk JDT jadi wakil Johor dalam MSSM, pemenang peringkat negeri diketepikan? telah mendapat perhatian dan pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak tanah air.

Isu timbul apabila ada sumber yang menyuarakan rasa tidak puas hati melibatkan MSS Johor yang sedang bersaing di kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) apabila skuad yang dihantar merupakan pemain Akademi JDT dan bukannya pemain daripada pasukan yang sudah bersaing dalam kejohanan MSS Daerah dan MSS Negeri.


Pelbagai reaksi diberikan dan tidak kurangnya ada juga yang memberikan cadangan untuk mewujudkan satu lagi kejohanan supaya pemain-pemain sekolah tidak akan bertembung dengan pemain daripada Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan akademi bola sepak.

Cadangan daripada seorang pengguna Twitter itu mencadangkan agar kejohanan MSSM dikhaskan kepada pemain akademi bola sepak dan SSN, manakala satu kejohanan baru untuk sekolah biasa.

Ia adalah satu cadangan yang baik, tetapi rasanya tak perlu diwujudkan satu lagi kejohanan kerana ia format sedia ada sudah cukup baik dan tidak perlu wujudkan kejohanan baru.

Perkara pertama yang perlu ingat adalah MSSM adalah kejohanan untuk sekolah jadi agak tak relevan untuk khaskan kepada pemain dari akademi bola sepak.

MSSM adalah platform untuk pemain-pemain di sekolah biasa untuk mempamerkan bakat mereka berikutan tidak berpeluang dipilih untuk ke akademi bola sepak, oleh itu mengapa mahu menutup peluang mereka?

Mengambil contoh pemain-pemain dengan dakwaan yang berlaku di Johor adalah sesuatu yang agak menyedihkan kerana pemain yang bersaing di MSSD dan MSSN telah berjuang bersungguh-sungguh untuk mewakili negeri untuk mendapat peluang beraksi di MSSM tetapi akhirnya tempat mereka ‘dirampas’ oleh pemain akademi. Adakah itu dinamakan adil?

MSSM merupakan satu-satunya peluang buat pemain bukan daripada akademi bola sepak dapat peluang bermain dalam kejohanan kompetitif, sedangkan pemain akademi mempunyai peluang beraksi dalam kejohanan-kejohanan luar.

Mungkin ada yang akan mengatakan pemain akademi ‘wajib’ dipilih untuk jadi wakil negeri ke MSSM kerana mereka ini mempunyai kualiti berbanding pemain sekolah biasa.

Ada betul kerana pemain yang bermain di akademi adalah mereka yang terpilih kerana mempunyai kualiti tinggi, tetapi jika dari awal menyatakan hanya pemain akademi akan menjadi wakil negeri, buat apa adakan kejohanan MSSD dan MSSN? Tidakkan tindakan itu akan ‘membunuh’ semangat pemain-pemain muda ini?

Siapa kata pemain pemain sekolah biasa tiada kualiti? Setiap ‘peak’ pemain berbeza, jadi kita tidak boleh nak ‘pukul rata’ kata pemain akademi sahaja yang bagus. Jika pemain akademi ini benar-benar bagus, mungkin mereka tidak perlu bersaing di peringkat MSSD tetapi perlu bersaing di peringkat MSSN yang mana mereka juga perlu bersaing untuk menjadi juara sekiranya mahu jadi wakil negeri.

Rasanya pemain akademi tiada masalah untuk menang jika mereka benar-benar bagus, tetapi perlu diingat dalam dunia bola sepak ini ‘apa sahaja boleh berlaku’.

Benarkan pemain akademi bersaing dengan pemain daripada sekolah yang layak ke MSSN. Jika pemain akademi menjadi juara tiada isu akan timbul kerana mereka menang dengan kualiti yang ada, manakala untuk pemain sekolah pula jika mereka kalah sekalipun perasaan tidak puas hati itu tidak akan wujud kerana mereka sudah mempunyai peluang tetapi kualiti menjadi punca mereka tewas dan tak layak untuk mewakili negeri.

Jadi tak perlu rasanya menutup peluang untuk pemain sekolah atau pemain bukan dari akademi dek alasan tak hebat atau berkualiti. Jika betul berkualiti mengapa perlu gentar untuk bersaing dengan pemain sekolah?