Berani kerana benar! Zamsaham patut ‘fight’ hingga ke peringkat FIFA

746

Minggu ini dunia bola sepak terus kecoh dengan kemelut yang berlaku dalam pasukan Kelantan FC selepas pengurusan kelab itu mengambil keputusan untuk ‘merehatkan’ ketua jurulatih Choi Moon-sik.

Isu menjadi semakin panas apabila ejen kepada Moon-sik iaitu Myeongho Jeong memberitahu bahawa beliau mahu mengheret Kelantan ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya pihak kelab tidak mengemukakan permohonan maaf dan menyelesaikan tunggakan gaji Moon-sik dalam masa terdekat.


Tidak dinafikan apa yang sedang berlaku dalam kelab dari Pantai Timur itu telah mencetuskan rasa cemas dalam kalangan peminat-peminat kerana sejak kelab itu diambil alih oleh Norizam Tukiman atau Zamsaham, kelab tersebut kembali bangkit dari terkubur.

Jutaan ringgit dilaburkan oleh Zamsaham untuk menaikkan semula kelab yang pernah menjadi gergasi Pantai Timur satu ketika dahulu.

Ia merupakan satu proses yang cukup panjang dan akhirnya mereka berjaya kembali ke Liga Super musim ini secara merit.

Apa yang berlaku pada Kelantan ketika ini nyata memberi kesan buat Zamsaham sehingga beliau tampak seolah-olah putus asa sehingga menyatakan kesediaan beliau untuk melepaskan sepenuhnya saham pasukan kepada individu yang mampu sekiranya peminat merasakan beliau tidak cukup bagus atau layak jadi pemilik kelab.

Ini adalah masa untuk peminat untuk berdiri teguh di belakang pemilik dan memberi sokongan penuh supaya mereka dapat mengharungi dugaan dengan tenang dan dapat menyelesaikan perkara itu secepat mungkin.

Zamsaham pula perlu berjuang habis-habisan sekiranya berada di pihak yang benar. Usah perlu bimbang walaupun isu ini dibawa ke peringkat FIFA sekalipun kerana jika beliau berada di pihak yang benar, pastinya beliau akan memperoleh kemenangan.

Diharap segala permasalahan The Red Warriors akan selesai segera supaya mereka dapat memberi fokus sepenuhnya kepada saingan Liga Super kerana ketika ini mereka berada di kedudukan kedua tercorot.

Selepas lapan perlawanan, Kelantan hanya berjaya menang satu, seri satu dan tewas enam kali.