Myeongho Jeong mahu heret Kelantan FC ke FIFA

9,597

Ejen bola sepak terkemuka Asia, Myeongho Jeong memberitahu beliau akan mengheret Kelantan FC ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya pihak kelab tidak mengemukakan permohonan maaf dan menyelesaikan tunggakan gaji jurulatih Choi Moon-sik dalam masa terdekat ini.

“Saya sudah hantar surat rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan jika kelab Kelantan FC tidak mengemukakan permohonan maaf kepada jurulatih saya, saya akan failkan saman di FIFA,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jeong yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), JMH Sports Agency mendedahkan bahawa Moon-sik dilepaskan tanpa sebarang perbincangan, sedangkan pengendali dari Korea Selatan itu mempunyai kontrak sehingga hujung musim ini iaitu pada Disember.


Sejak beberapa hari ini, dunia bola sepak tanah air kecoh dengan pendedahan oleh Jeong yang mendakwa pengurusan The Red Warriors bukan beroperasi seperti kelab profesional, sebaliknya ia diuruskan seperti sebuah kelab amatur.

Pemilik Kelantan, Norizam Tukiman atau lebih mesra dengan panggilan Zamsaham turut mengeluarkan kenyataan di media sosial bagi menafikan perkara tersebut.

Tindakan Zamsaham itu nyata membuatkan Jeong lebih berang dan beliau terus mendedahkan sisi gelap kelab dari Pantai Timur itu.

Dalam pada itu, Jeong turut mengakui bahawa berlakunya tunggakan gaji selama dua bulan dan pihak kelab baru sahaja membayar tunggakan sebulan gaji semalam.

“Semalam pukul 10.00pm pihak kelab baru langsaikan tunggakan satu bulan gaji.”

Beliau pada masa sama turut memberitahu pihak kelab tidak memberikan sebarang butiran lanjut mengenai baki tunggakan gaji bila akan dibayar.

Jeong di media sosial turut mendedahkan beberapa gambar yang memperlihatkan keadaan padang latihan yang daif selain kelihatan Moon-sik terpaksa menjaga padang sebelum latihan bermula.