Masalah sama kembali berulang dalam saingan Liga Wanita Nasional 2024?
Bola sepak wanita telah memperlihatkan peningkatan yang cukup positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila banyak kejayaan yang dikecapi termasuk pencapaian yang cukup membanggakan negara selepas pasukan Sabah FA berjaya layak ke pentas Asia ke AFC Women’s Champions League (AWCL).
Kejayaan Sabah FA layak ke AWCL selepas berjaya menjuarai Liga Wanita Nasional 2023 (LWN) biarpun saingan liga pada musim itu berdepan masalah apabila sebanyak 10 pasukan yang sepatutnya bersaing menjadi lima pasukan sahaja selepas banyak pasukan yang menarik diri.
Untuk saingan LWN 2024, Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Suraya Yaacob dalam satu kenyataan kepada pihak media sebelum ini memberitahu pihaknya sudah pun membuat proses penilaian terhadap kemampuan setiap pasukan yang bertanding bagi memastikan kesemua pasukan yang terlibat dapat mengharungi saingan sehingga tamat musim.
Bagaimanapun sebaliknya berlaku apabila masalah yang berlaku pada musim lalu kembali berulang apabila pasukan Melaka gagal hadir ke perlawanan menentang Red Eagles SC menjadi tanda tanya kerana tiada butiran lanjut mengenai sebab mereka tidak hadir.
Sudahlah saingan LWN musim ini hanya menampilkan sebanyak lapan pasukan sahaja dan dengan situasi terbaru ini pastinya akan memberi kesan kepada pasukan lain yang bertanding kerana mungkin sudah mempunyai perancangan dari segi pengangkutan dan penginapan tetapi tidak dapat turun beraksi dek ada pasukan yang tidak hadir.
Ia secara tidak langsung membuatkan saingan liga menjadi kurang kompetitif kerana kekurangan pasukan dan pemain juga tidak mendapat minit permainan yang mencukupi.
Selepas pelbagai persiapan rapi dan proses penilaian terhadap kemampuan pasukan dibuat mengapa masih timbul lagi masalah sama? Di mana salah silapnya?
Bercakap lebih mudah berbanding melaksanakan! Realitinya tidak mudah untuk mana-mana pihak untuk menguruskan sesebuah pasukan bola sepak terutamanya bola sepak wanita kerana perkara utama yang perlu dititik beratkan adalah soal kemampuan kewangan.
Jika bola sepak lelaki yang sudah berada di tahap yang lebih tinggi juga saban tahun berdepan masalah tunggakan gaji, maka untuk menguruskan pasukan wanita lebih sukar kerana bola sepak wanita belum sampai ke satu tahap yang tinggi.
Jadi bukanlah sesuatu yang pelik jika ada pasukan yang terpaksa gulung tikar dek masalah kewangan ini kerana realiti pahit yang perlu ditelan oleh semua pihak adalah bola sepak wanita atau secara umumkannya bola di Malaysia tidak menguntungkan.
Isu ini pernah dibangkitkan pada tahun lalu menerusi artikel Apa sudah jadi dengan Liga Wanita Nasional? dan ternyata pada musim ini ia menjadi kenyataan.
Susulan isu yang berlaku ini, diharap pihak FAM dapat menangguhkan dahulu hasrat mereka untuk memperkenalkan kuota pemain import untuk saingan LWN kerana jika ia diteruskan juga bimbang perkara yang tidak diingini akan berlaku.
Badan induk bola sepak negara perlu mencari jalan penyelesaian bagi memastikan kelancaran saingan liga tanpa sebarang masalah terlebih dahulu sebelum memikirkan untuk memperkenalkan kuota pemain import.
Ini kerana jika kuota pemain import diperkenalkan pastinya setiap pasukan akan berlumba-lumba untuk menandatangani pemain import untuk memperkuatkan pasukan tanpa melihat kekuatan kantung pasukan.
Saranan adalah untuk mengetengahkan pemain-pemain tempatan kerana negara mempunyai ramai pemain bola sepak wanita yang berkualiti dan mereka ini perlukan platform untuk memperlihatkan kemampuan mereka.
Tambahan pula, sekiranya lebih ramai pemain tempatan diberi ruang dan peluang untuk beraksi ia akan membawa manfaat kepada negara kerana kita akan mempunyai ramai pelapis untuk masa hadapan.
Perkara ini selari dengan objektif ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malayan Tigress iaitu Soleen Al-Zoubi yang kini mahu memperkuatkan pasukan dengan ramai pemain-pemain muda dan beliau telah pun melakukannya pada dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 ketika menentang Arab Saudi dan Laos baru-baru ini.
Oleh itu diharap pihak yang bertanggungjawab perlu mencari solusi terbaik untuk memantapkan bola sepak wanita disamping memastikan tiada sebarang masalah yang boleh menjejaskan kelangsungan bola sepak wanita negara berlaku.