Kami cabar diri untuk sertai Borneo Cup! Alhamdulillah jadi juara B-11 – Kamaruddin Omar

24

Pengurus Besar pasukan TSS Selangor, Kamaruddin Omar meluahkan rasa bersyukurnya apabila penyertaan pertama mereka di kejohanan Malaysia Borneo Football Cup 2024 telah membuahkan hasil apabila skuad B-11 menjadi juara.

Menurut Kamaruddin, kejohanan Borneo Cup sangat unik kerana format perlawanan berbeza dengan kejohanan-kejohanan di peringkat akar umbi lain yang mana ia kejohanan 11 sebelah dengan bermain di padang saiz sebenar.


“Syukur Alhamdulillah kali pertama kami menyertai Borneo Football Cup 2024 dan berjaya menjadi juara untuk kategori B-11.

Sebenarnya kejohanan ini berbeza dengan kejohanan-kejohanan yang lain kerana di Borneo Football Cup kita bermain 11 sebelah dan menggunakan padang yang besar seperti dewasa, jadi kami ambil peluang itu untuk cabar diri dengan menyertai kejohanan ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada perlawanan akhir Borneo Football Cup B-11, pasukan TSS Selangor telah berjaya menewaskan kelab dari Hong Kong iaitu HKJFL dengan keputusan 3-0.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata kejayaan skuad B-11 ini tidak datang dengan mudah kerana kesemua pemain sudah bersama sejak bermain dalam skuad B-7.

“Pemain-pemain ini sudah bermain bersama sejak berusia tujuh tahun jadi tiada rahsia kejayaan sebaliknya rahsia kita hanyalah latihan intensif.

Tidak kira bulan Raya atau bulan Ramadan kita tetap turun berlatih dan tidak pernah cuti kecuali tiga hari pada Hari Raya sahaja.”

Sementara itu, Kamaruddin turut memberi kredit kepada pemilik TSS Selangor iaitu Tengku Shakirinal atau lebih dikenali dengan panggilan Tengku Nana yang banyak membantu pemain-pemain sejak dari awal lagi termasuk menyertai pelbagai kejohanan dalam dan juga luar negara.