Malam ini kita bermain seperti Harimau yang sebenar – Kim Pan-gon

16,542

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon meluahkan rasa gembiranya dengan aksi persembahan pemainnya apabila mereka berjaya menumpaskan Turkmenistan 3-1 dalam perlawanan pertama Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023.

Pan-gon berkata pemain-pemainnya berjaya mengikut segala taktikal dan arahan yang dirancang iaitu mendominasi perlawanan.


“Ia malam yang cukup terbaik buat kami. Saya sangat gembira dengan kesemua pemain yang memberikan aksi persembahan yang cukup mantap.

Pemain berjaya menterjemahkan taktikal yang diterapkan ketika latihan iaitu untuk mendominasi dan mengawal perlawanan sekaligus kita berjaya memperoleh dua gol awal. Apa yang saya boleh katakan malam ini kita bermain seperti Harimau yang sebenar,”

katanya.

Pengendali dari Korea Selatan itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kesilapan barisan pertahanan yang memberikan gol mudah kepada lawan.

“Saya tidak mahu komen mengenai permainan individu kerana saya lebih fokus kepada permainan berpasukan.”

Dalam pada itu, Pan-gon yang gembira dengan tiga mata pertama menyuarakan keyakinan bahawa anak buahnya mampu mencuri mata apabila menentang Bahrain dalam perlawanan kedua pada 11 Jun ini.

Persembahan mantap yang dipamerkan oleh skuad negara membuktikan bahawa Malaysia bukan lagi sebuah pasukan yang mudah untuk dikalahkan.

Malah Pan-gon juga berkata mereka akan tetap mengekalkan corak permainan berintensiti tinggi apabila menentang Bahrain nanti walaupun tahu pasukan dari Timur Tengah itu berada di ranking jauh lebih baik dari pasukan negara.

Beliau juga akan mengekalkan sasaran awal mereka iaitu mahu memperoleh sekurang-kurangnya tujuh mata untuk berada dalam kedudukan kedua teratas kumpulan untuk layak ke pusingan seterusnya.