Bila berjaya rampas bola saya terus buat percubaan tanpa melihat gawang – Husnul Irsal

304

Pemain Bukit Tambun FC, Muhammad Husnul Irsal Amran yang beraksi dalam saingan Liga M3 telah tular di media sosial baru-baru ini selepas beliau berjaya menjaringkan gol jarak jauh yang cukup menakjubkan ketika menentang KL Rovers.

Tidak hanya menjaringkan gol dari jarak jauh, Husnul Irsal turut menjaringkan gol kemenangan sekaligus menghadiahkan kekalahan pertama pasukan lawan.


Menurut Husnul, jaringan jarak jauh yang dilakukannya itu bukan berlaku secara tidak sengaja sebaliknya beliau sudah sedia maklum dengan penjaga gol lawan yang sering meninggalkan posisinya.

“Saya sangat gembira dengan jaringan itu kerana saya tidak pernah jaringkan gol seperti itu. Sebelum jaringan saya, rakan sepasukan yang bermain di posisi pertahanan ada juga cuba membuat percubaan dari jauh tapi gagal.

Selepas separuh masa pertama, jurulatih juga turut memberitahu kesemua pemain mengenai penjaga gol lawan yang sering keluar jauh dari kotak penalti.

Jadi ketika separuh masa kedua apabila saya berjaya rampas terus buat percubaan tanpa melihat gawang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Susulan jaringan cantik tersebut, kini terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa jaringan tersebut akan dihantar untuk Anugerah Puskas FIFA.

Dalam pada itu, Husnul berkata beliau akan berasa cukup bangga dan bersyukur jika jaringannya tersenarai untuk Anugerah Puskas.

“Saya tak pernah fikir nak menang Anugerah Puskas, tapi kalau dapat tersenarai dalam Top 100 atau Top 50 tu Alhamdulillah lah.”

Sementara itu, kemenangan ke atas KL Rovers menyaksikan Bukit Tambun kini melonjak kedudukan ke tempat keempat dengan 31 mata.

Husnul berkata, kemenangan tersebut telah memberi motivasi dan semangat baru untuk pasukannya kini cuba memburu kedudukan Top 2 liga bagi mendapatkan peluang untuk bermain play-off ke Liga Super.

“Lepas perlawanan KL Rovers, ketua jurulatih buat pertemuan dengan pasukan yang mana beliau berharap dapat menduduki kedudukan Top 2 untuk ke Liga Super.”