Pemain Perak FC sudah boleh cari pasukan baru jika mahu terus bermain bola sepak – Shahril Saa’ri

23,176

Penjaga gol Kedah Darul Aman FC, Shahril Saa’ri menasihati agar pemain-pemain Perak FC yang terjejas dengan kemelut yang berlaku dalam pasukan itu supaya mula cari pasukan baru.

Shahril berkata demikian kerana berasa kesian dengan situasi yang melanda pemain-pemain The Bos Gaurus kerana beliau sendiri pernah merasai situasi sama ketika menyertai pasukan Perlis kira-kira tiga tahun lalu.


“Masa dengan Perlis dulu, bila pemain-pemain dapat tahu yang kami semua ditipu, kami terus mula cari pasukan baru dan sentiasa ambil tahu situasi semasa yang pihak berwajib akan buat.

Nasihat saya, pemain kena selalu bertanya untuk dapatkan kepastian samada pasukan akan terus berjalan atau pasukan dalam masalah untuk disingkirkan daripada liga,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, sebagai pemain mereka perlu lebih bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Oleh itu beliau menasihati agar pemain Perak cari pasukan baru sekiranya mereka mahu meneruskan karier dalam dunia bola sepak.

Dalam pada itu, Shahril yang merupakan Exco Persatuan Pemain Profesional Bola Sepak Malaysia (PFAM) berkata beliau tidak dapat memberi komen atas kapasiti exco kerana difahamkan pihak PFAM sendiri sudah mula mengambil tindakan selepas ada pemain yang melaporkan kepada pihak mereka.

Sementara itu, pemain berusia 32 tahun itu berkata beliau dan rakan sepasukan kini sangat bermotivasi selepas dua perlawanan Liga Super apabila berjaya mengutip enam mata penuh.

Bakal berdepan Sains FC pada pusingan perlawanan Piala FA, beliau dan rakan sepasukan tidak akan mengambil mudah walaupun menentang pasukan dari Liga M3 kerana bagi mereka tiada jalan mudah apabila mana-mana lawan dan akan memberi komitmen penuh sepanjang perlawanan.

Apabila saingan Liga Super kembali bersambung pada awal April, Kedah akan bertemu lawan sukar iaitu Sri Pahang FC.