Faisal Halim & Akhyar Rashid tu baik, kenapa perlu buat mereka macam tu – Pok Riping

15

Dua insiden hitam yang berlaku dalam dunia bola sepak tanah air baru-baru ini tidak hanya menjejaskan pemain yang menjadi mangsa tetapi peminat turut antara yang terkesan dengan insiden tersebut.

Salah seorang peminat ‘otai’ bola sepak tempatan dari Terengganu iaitu Muda bin Mat Ali atau lebih mesra dengan panggilan Pok Riping merupakan antara peminat yang cukup terkesan dengan dua insiden melibatkan pemain kebangsaan Faisal Halim dan Akhyar Rashid baru-baru ini.


Menurut Pok Riping, Faisal atau lebih dikenali dengan panggilan Mickey seorang pemain yang cukup merendah diri dan mudah didekati biarpun merupakan seorang pemain bintang.

“Pengalaman saya ketika Mickey bermain dengan Terengganu, sukar untuk cari pemain seperti beliau kerana beliau cukup mudah didekati, tak sombong dan boleh bergurau senda seperti biasa walaupun beliau seorang pemain yang hebat.

Dalam sukan kita tidak nilai seseorang dari segi kehebatan, pencapaian atau anugerah kerana bagi saya sebagai peminat apa yang penting untuk seorang pemain adalah apabila negeri panggil kita pergi, kalau negara panggil kita pergi. Itu sudah cukup bagi kami bagi peminat melihat pemain mempunyai jiwa dan bermain demi lencana di dada,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pok Riping turut mempersoal tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan onar kepada kedua-dua pemain itu sedangkan mereka adalah pemain yang cukup baik.

“Apa yang berlaku kepada Faisal dan Akhyar, mereka tu baik, kenapa perlu buat mereka macam tu? Apa salah mereka?.”

Dalam pada itu, beliau berharap agar kedua-dua pemain itu dapat terima apa yang berlaku sebagai satu dugaan dan beliau bersama peminat lain akan terus berada di belakang mereka.