Kami mahu 3 mata untuk berada di kelompak atas liga – Tomislav Steinbruckner

11

Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner memberitahu beliau mahu pasukannya mendapatkan tiga mata penuh dalam aksi ketiga Liga Super menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN) hari ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) supaya mereka dapat kekal di kelompak atas liga.

Menurut Steinbruckner, empat mata dari dua perlawanan awal sebelum ini adalah keputusan yang baik untuk mereka tapi beliau mahu pasukan pamer aksi lebih baik sepanjang musim ini.


“Selepas dua perlawanan pertama kita dapat empat mata yang mana saya rasa ia ‘warm up’ yang bagus jadi saya harap kita akan lebih baik dan berjaya.

Esok (hari ini) adalah cabaran baru, perlawanan baru dan saya beritahu kepada semua pemain saya sentiasa bersedia kerana kita mahukan tiga mata esok kerana mahu berada di posisi dekat dengan puncak liga,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Steinbruckner turut berkata beliau tidak akan mengambil mudah perlawanan esok biarpun KDN tewas dalam kedua-dua perlawanan awal mereka.

Jelasnya, beliau sudah mendapat gambaran kekuatan pasukan lawan kerana mereka pernah bertemu ketika pra musim di mana kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Dalam pada itu, Steinbruckner turut memberitahu pasukannya akan turun beraksi tanpa tiga tonggak utama Ivan Mamut, Azam Azmi dan Matthew Steenvorden yang masih belum pulih dari kecederaan.

“Ivan Mamut, Azam Azmi dan Steenvorden masih lagi tidak dapat bermain kerana cedera dan saya berharap selepas tamat rehat pasukan kebangsaan mereka dapat menyertai sesi latihan bersama pasukan kerana kecederaan mereka serius.”

Tambahnya lagi, kesemua pemain ini perlukan tempoh sekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu untuk kembali turun berlatih seperti biasa dan selepas itu beliau akan mempersiapkan kesemua pemain untuk bersedia untuk perlawanan.

Sementara itu, beliau turut berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh Akhyar Rashid biarpun beliau hanya turun berlatih beberapa sebelum aksi menentang Penang FC, namun beliau tetap mahu pemain tunjukkan persembahan yang lebih bagus nanti.