Safawi Rasid tekad mahu rebut ‘first e’ dalam skuad Harimau Malaya

15

Pemain Terengganu FC (TFC) dan kebangsaan, Safawi Rasid bertekad mahu berikan yang terbaik sepanjang kem latihan pusat Harimau Malaya kali ini bagi memastikan beliau dapat merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Saya mahu rebut kesebelasan utama tapi itu terpulang kepada ketua jurulatih,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Safawi merupakan salah seorang daripada 26 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon ke kem latihan pusat bermula hari ini 27 Mei bagi menghadapi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D, pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz di Bishkek pada 6 Jun 2024 dan menentang Chinese Taipei di Bukit Jalil pada 11 Jun 2024.


Terdahulu, Safawi gembira apabila pasukannya TFC berjaya memperoleh tiga mata penuh dalam aksi Liga Super selepas mereka berjaya membenam Kelantan Darul Naim FC (KDN) 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

Menurutnya, amat penting untuk pasukannya mendapatkan kemenangan sebelum saingan liga berehat seketika bagi memberi laluan kepada pasukan kebangsaan.

“Sangat penting sebelum kita berehat kita dapat tiga mata jadi bagi kami malam ini sangat berpuas hati dan ia secara tidak langsung memberi saya lebih keyakinan untuk panggilan pasukan kebangsaan kali ini.”

Dalam pada itu, Safawi turut memberitahu bahawa beliau memerlukan tempoh dua hingga tiga bulan lagi untuk kembali ke prestasi sebenar.

Beliau pada masa sama juga tiada masalah untuk bermain di mana-mana posisi yang dikendaki oleh ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner biarpun lebih gemar bermain di posisi sayap kanan.

“Saya gemar lagi bermain di posisi sayap kanan. Saya mahukan lebih minit permainan, insyaAllah mungkin dua tiga bulan lagi saya akan dapat balik prestasi saya, jadi benda ini perlukan masa.

Bagi saya No. 10 pun saya boleh main jadi tiada masalah untuk saya bermain di posisi itu.”