Belasungkawa: Jasa B. Satiananthan terhadap bola sepak Malaysia tidak ternilai

4,128

Peminat bola sepak tempatan hari ini dikejutkan dengan pemergian seorang legenda yang telah banyak berjasa kepada arena bola sepak negara iaitu B. Satiananthan.

Beliau yang berusia 65 tahun menghembuskan nafas terakhirnya setelah bergelut dengan kanser sejak tahun lalu.


Jurulatih kelahiran Perak itu memulakan kerjaya profesionalnya dalam bola sepak bersama pasukan Negeri Sembilan FA sebelum berhijrah ke Melaka FA selama setahun, sebelum kembali ke Negeri Sembilan sehingga bersara.

Beliau yang bermain di posisi pertahanan tengah juga pernah mencatatkan 15 kaps untuk negara, dan menjadi salah seorang anggota skuad Sukan SEA 1983 negara yang memenangi pingat gangsa.

Selepas bersara, beliau terjun ke bidang kejurulatihan dan pernah melatih beberapa pasukan tempatan seperti Selangor, Kelantan ATM, Felda United dan Sarawak United, selain skuad kebangsaan.

Sepanjang karier penuh warna-warni, beliau berjaya meraih beberapa trofi iaitu Piala Emas Raja-Raja 1992, menjuarai Pestabola Merdeka 2007, Juara Piala Malaysia 2010, Juara Liga Perdana 2012 dan 2018.

Sathianathan juga tiga kali dipilih sebagai jurulatih terbaik dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan iaitu pada tahun 2010, 2012 dan 2017.

Dikenali dengan ketegasan dan kelantangannya di atas padang, Sathianathan bagaimanapun merupakan seorang yang periang dan amat senang didekati, serta rapat dengan para pemain di luar padang.

Menurut beberapa pemain yang pernah bermain untuknya, beliau juga merupakan seorang yang amat menitikberatkan kebajikan para pemainnya dan sanggup berkorban untuk pemain.

Pemergian Sathianathan adalah satu kehilangan yang besar buat arena bola sepak tempatan, segala jasa dan keringat yang dicurahkan sejak permulaan kariernya tiada galang ganti.

Kami di Harimau Malaya mengucapkan takziah kepada keluarga, sahabat handai serta rakan-rakan mendiang.