Saddil Ramdani pilih kekal di Sabah FC demi karier bola sepaknya

110

Pemain import sensasi Sabah FC, Saddil Ramdani memberitahu bahawa beliau pilih untuk kekal bersama Sabah bukan kerana masih mempunyai baki kontrak sehingga Disember depan tapi kerana beliau mahu terus menimba ilmu dibawah kendalian ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee.

Menurut Saddil, fokus beliau untuk saingan Liga Super musim 2024/25 adalah untuk mendapat minit permainan demi masa depan karier bola sepaknya.


“Saya pilih kekal kerana merasakan saya ingin belajar jauh lebih baik lagi dan tentunya saya berada di sini selama empat tahun sampai sekarang ini boleh menimba ilmu lebih baik lagi.

Dan sudah tentunya pihak pengurusan dan ketua jurulatih boleh memberikan saya minit permainan kerana itu sangat penting bagi saya dan masa depan saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, pemain kebangsaan Indonesia itu juga menganggap bermain dibawah kendalian OKS sangat ‘istimewa’ bagi dirinya.

“Tentunya sangat ‘istimewa’ dan sangat luar biasa kerana banyak yang saya belajar daripada jurulatih serta banyak hal-hal baru yang boleh saya ambil di sini baik dari saya sendiri mahu pun secara pasukan dan itu sangat luar biasa bagi saya.

Jurulatih juga sangat luar biasa untuk memberikan ilmu terhadap kami sebagai pasukan.”

Sementara itu, untuk sasarannya musim ini Saddil berkata beliau dan rakan sepasukan sentiasa akan memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan dan akan cuba mencapai sasaran yang diletakkan oleh pihak pengurusan.