Malaysia bawa masuk jurulatih futsal Thailand, Indonesia tak nak kalah ‘pancing’ jurulatih futsal Brazil dengan rekod dua kali juara dunia

235

Di saat Malaysia dilaporkan bakal mengumumkan jurulatih futsal baharu bagi skuad kebangsaan, negara jiran iaitu Indonesia juga tidak mahu melepaskan peluang menambah baik skuad mereka dengan melantik bekas jurulatih futsal Brazil, Marcos Sorato.

Malaysia sebelum ini dikhabarkan bakal mengumumkan seorang jurulatih baharu yang berasal dari Thailand bagi membimbing skuad futsal negara mempersiapkan diri menjelang saingan Kelayakan Piala Asia Futsal 2024.


Indonesia yang kini berada di ranking ke-37 dunia sememangnya jelas ingin mengejar skuad futsal Thailand yang gah menjadi pasukan nombor 1 di Asia Tenggara dan berada di kedudukan ke-25 dunia.

Dengan kehadiran Marcos yang mempunyai pengalaman membawa skuad futsal Brazil memenangi Piala Dunia Futsal dua edisi berturut-turut iaitu 2008 dan 2012, sudah pasti dapat menggilap pemain-pemain Indonesia sekaligus mengubah mentaliti dan corak permainan mereka di tahap yang tinggi.

Selain itu, Marcos juga pernah menerimah anugerah daripada Kesatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) iaitu FIFA International Coach of The Year bagi tahun 2011.

Perkara ini sekaligus menutup episod teka-teki para peminat futsal Indonesia selepas pengunduran diri yang dibuat oleh bekas jurulatih mereka sebelum ini, Mohammad Hashemzadeh yang sudah banyak menabur bakti buat skuad futsal Indonesia sebelum ini sehinggakan mereka mempunyai peluang besar untuk menyertai saingan Piala Dunia Futsal 2024.

Melihat kepada perkembangan pasukan Indonesia sendiri sememangnya agak berbeza dan jauh lebih berjaya jika dibandingkan dengan pasukan bola sepak mereka yang agak ketinggalan dibelakang beberapa negara Asia Tenggara yang lain misalnya Thailand, Vietnam dan Malaysia.

Namun dengan kemasukkan bekas jurulatih pasukan juara Piala Dunia ini sudah semestinya skuad futsal Indonesia akan lebih maju dan meraih lebih banyak kejuaraan berbanding sebelum ini.

Dilihatkan dalam tempoh beberapa bulan ini arena bola sepak dan futsal Indonesia masing-masing menunjukkan peningkatan dari segi prestasi mahupun kualiti perlawanan mereka.

Hal ini kita dapat lihat apabila sebelum ini skuad senior bola sepak mereka berjaya membawa juara dunia iaitu Argentina bermain dalam perlawanan persahabatan selain skuad bawah 17 tahun berjaya mencipta sejarah menyertai kejohanan Piala Dunia B-17 dan kini jurulatih bertaraf dunia pula bakal dibawa masuk untuk mempersiapkan skuad futsal mereka.

Oleh yang demikian, tidak salah untuk kita sasarkan dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang, pasukan-pasukan daripada Asia Tenggara bakal menjadi pasukan yang konsisten dan dikenali dalam kejohanan dunia jika dilihat daripada perkembangan dan kemajuan yang dimulakan hari ini.