Marc Vales tak sabar nak kembali sarung jersi Hijau Kuning lepas pulih dari pembedahan

1,179

Pemain pertahanan Kedah Darul Aman FC, Marc Vales tidak sabar mahu kembali turun beraksi bersama rakan sepasukan selepas beliau pulih sepenuhnya dari pembedahan pelapik lutut koyak (Meniscus Tear).

“Saya baru sahaja menjalani pembedahan meniscus tear dan memerlukan tujuh hingga ke lapan minggu untuk pulih sepenuhnya sebelum dapat kembali beraksi bersama rakan sepasukan.

Ketika saya berada di Bali, kecederaan lutut saya semakin teruk jadi saya ambil keputusan untuk jalani pembedahan dan bersyukur apabila pembedahan berjalan dengan lancar,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada awal saingan liga, Vales terlepas beberapa perlawanan akibat mengalami kecederaan dan kecederaan itu menjadi berlanjutan menyebabkan prestasi beliau kurang konsisten.


Oleh sebab itu beliau nekad untuk membuat pembedahan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi supaya beliau dapat kembali membantu pasukan untuk mengharungi saingan sehingga hujung musim ini.

Dalam pada itu, pemain kebangsaan Andorra itu mengakui yang ramai penyokong yang mengkritiknya atas aksi hambar yang dipamerkannya, namun beliau enggan terlalu memikirkan soal tersebut kerana baginya beliau sudah beri yang terbaik setiap kali turun beraksi.

“Saya faham sebagai pemain import penyokong akan meletak harapan yang cukup tinggi dan tuntut saya beri aksi terbaik untuk setiap perlawanan, dan itulah saya lakukan setiap kali diturunkan.

Selepas saya pulih dari kecederaan sebelum ini, jurulatih (Aidil Sharin) mahu saya bermain di posisi lain yang bukan posisi saya, namun sebagai pemain saya perlu ikut arahan daripada jurulatih kerana ini adalah kerja saya. Saya harap penyokong dapat faham bahawa posisi yang saya main ketika itu bukan posisi utama saya.

Tetapi saya bernasib baik sebelum liga berehat, saya diturunkan di posisi utama dan saya rasa mereka boleh lihat aksi terbaik saya.”

Sementara itu, beliau turut menyuarakan keyakinannya terhadap pasukan Hijau Kuning itu mampu mara ke perlawanan akhir Piala AFC 2023 Zon ASEAN selepas mempamerkan aksi memukau pada saingan kumpulan baru-baru ini.

Beliau berkata dengan barisan pemain yang ada ketika ini semakin serasi, tiada masalah untuk Kedah menewaskan lawan mereka nanti di separuh akhir iaitu PSM Makassar dari Indonesia.

Pada masa sama, pemain berusia 32 tahun itu turut memuji barisan pemain muda seperti Kamil Akmal, Azmeer Ariz dan beberapa lagi yang memperlihatkan kualiti yang ada pada mereka.

“Saya bangga dengan aksi pemain muda dalam pasukan seperti Kamil, Azmeer dan beberapa pemain lain yang mempunyai kualiti, dan mereka ini sentiasa berkomunikasi bersama rakan sepasukan termasuk saya bagi memperbaiki kelemahan setiap kelemahan mereka.”

Vales juga berkata beliau juga sentiasa berkongsi ilmu bersama rakan sepasukan lain kerana percaya setiap pemain perlu bekerjasama sebagai satu pasukan jika mahu berjaya.

Sementara itu, Vales berkata jika Sang Kenari boleh mengekalkan prestasi cemerlang mereka ketika ini dan mampu memberi cabaran sengit kepada pendahulu liga, mereka pasti mampu menamatkan musim ini dengan cemerlang.