Sudahlah keciciran mata, semacam kena hentam pula dengan Sanusi

25,232

Perlawanan Liga Super membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC (SPFC) menyaksikan juara bertahan hampir dimalukan di tempat sendiri sebelum berjaya mengikat kedudukan 2-2 sehingga wisel penamat.

Bermain di stadium keramat, Stadium Sultan Ibrahim, JDT pada mulanya dijangka mudah untuk mengatasi pasukan Pahang berikutan mereka berada dalam momentum terbaik selepas mencipta kejayaan dan melayakkan diri ke pusingan kalah mati AFC Champions League.


Selepas membuka jaringan melalui penyerang sensasi Brazil, Bergson, skuad Harimau Selatan gagal menembusi barisan pertahanan Tok Gajah yang sangat berdisiplin dalam mengawal pergerakan pemain lincah seperti Bergson, Fernando Forestieri dan Arif Aiman.

Pahang bertandang ke Johor Bahru dengan tiada tekanan dan pastinya berpuas hati dengan kutipan satu mata sebelum international break.

Walaupun ia bukanlah satu keputusan yang dimahukan oleh pengendali JDT, Benjamin Mora tetapi beliau boleh menarik nafas lega apabila tidak tewas di halaman sendiri.

Di sebalik kehangatan perlawanan semalam, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah mengeluarkan satu kenyataan yang dilihat seperti dituju kepada pasukan JDT.

Menerusi satu kenyataannya di akhbar, beliau berkata dalam dunia bola sepak negara tidak boleh wujud ‘tokong’ jika mahu semua pasukan beraksi secara adil.

Sanusi berkata sukan bola sepak untuk semua dan bukannya individu tertentu sehinggakan ada yang perlu menyembah ‘tokong’.

Keadaan yang berlaku ketika ini akan menjejaskan pasukan untuk bermain secara adil, malahan beliau turut memberi contoh kejadian luar biasa yang berlaku dalam perlawanan baru-baru ini apabila pengadil memberikan tambahan masa 10 minit pada satu perlawanan yang berlangsung di Paroi, Negeri Sembilan.

Susulan itu, Sanusi yang juga merupakan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), menggesa agar perkara seperti ini perlu ditangani dengan segera supaya ia tidak melarat.

Pada masa sama beliau mengakui ramai yang tahu dengan apa yang berlaku tetapi mereka ambil pendirian untuk tidak bersuara.

Oleh kerana sayangkan dunia bola sepak tempatan, beliau akan terus bersuara pada masa akan datang.

Sementara itu, terdapat juga segelintir pihak mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh Sanusi adalah taktik politik untuk cuba alih perhatian daripada prestasi hambar pasukan Kedah Darul Aman FC kebelakangan ini.