Elias Dolah pengganti terbaik untuk Jang

253

Pertahanan tengah Port FC, Elias Dolah merupakan salah satu nama yang semakin hangat diperkatakan sebagai pengganti yang sesuai bagi mengisi kekosongan yang terdapat di barisan pertahanan pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila mereka kehilangan Jang Suk-won.

Pemain kacukan Thailand-Sweden yang berketinggian 1.96 meter itu tampak sebagai pengganti yang tepat berdasarkan ketinggian dan fizikal beliau yang hampir sama dengan pertahanan dari Korea Selatan tersebut.


Elias yang kini beraksi sebagai pemain pertahanan pasukan Port FC bermula dari tahun 2017 telah berjaya mengumpul 134 aksi perlawanan dan turut berjaya menjaringkan tujuh gol selepas lima tahun bersama pasukan tersebut.

Musim ini, Elias telah bermain sebanyak 13 perlawanan dan menjadi antara watak penting dalam membantu bahagian pertahanan pasukannya untuk tidak bolos dalam tujuh perlawanan liga.

Prestasi baik yang ditunjukkan oleh Elias juga diteruskan apabila beliau merupakan salah seorang pemain yang membantu pasukan Thailand memenangi Piala AFF buat kali keenam baru-baru ini.

Persembahan menyakinkan ini meletakkan beliau sebagai seorang pemain yang tepat untuk mengisi kekosongan dan memperbaiki kesilapan yang sering berlaku di bahagian pertahanan KDA FC menjelang aksi Piala AFC kelak.

Selain itu, bekas pertahanan KDA FC sebelum ini, Renan Alves turut dikaitkan semula dengan pasukan ini berdasarkan prestasi beliau bersama pasukan Kedah sebelum ini di bawah kendalian jurulatih yang sama, Aidil Shahrin.

Renan kini beraksi bersama PS Barito Putera di Liga 1 Indonesia merupakan antara pilihan utama pengurus pasukan, Dejan Antonic.

Sepanjang beraksi pada 14 perlawanan musim ini, Renan telah berjaya mengekang asakan lawan dan berjaya membawa pasukan untuk mengharungi tiga perlawanan tanpa sebarang bolos.

Tambahan pula, peminat bola sepak tanah air terutamanya penyokong Kedah menyedari tentang kemampuan beliau ditambah dengan fizikal badannya yang menyukarkan rata-rata penyerang pasukan lawan sewaktu beraksi bersama pasukan Hijau Kuning sebelum ini.

Selain Renan, pemain Negeri Sembilan FC (NSFC), Harold Goulon turut menjadi salah satu nama yang menjadi sebutan para peminat apabila beliau telah menunjukkan prestasi yang memberansangkan dalam menahan serangan bertali arus yang diberikan oleh pasukan lawan.

Selain itu, aksi beliau pada perlawanan terakhir sebelum liga direhatkan menentang Kedah menjadi tumpuan atas kejayaan beliau mengawal barisan pertahanan pasukannya sehingga berjaya meraih seri di akhir perlawanan.

Negeri Sembilan merupakan antara pasukan yang mempunyai jumlah bolos yang rendah dan kini menduduki tangga ketiga Liga Super dengan kekurangan satu perlawanan keseluruhan.

Mana-mana pemain yang akan dipilih untuk mengisi kekosongan yang terdapat dalam pasukan KDA FC perlu segera membiasakan diri dan menunjukkan aksi terbaik mereka bagi membantu memperkuatkan semula bahagian pertahanan pasukan tersebut.  

Pasukan Kedah dilihat sedikit tempang tanpa sosok pemain yang mampu mengemudi bahagian pertahanan seperti yang dilakukan oleh Jang sebelum ini apabila mereka mencatatkan jumlah bolos yang tinggi, 17 daripada sembilan perlawanan setakat ini.