Tidak ada masalah bermain pelbagai formasi – Khuzaimi Piee

1,181

Pemain pertahanan negara, Khuzaimi Piee menyatakan penerimaan beliau terhadap pendekatan yang diambil oleh ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon sewaktu aksi menentang Brunei baru-baru ini.

“Bagi saya benda itu tidak menjadi masalah sebab sebelum ini saya dah biasa bermain ‘four at the back’, ‘three at the back’, jadi untuk saya ada sedikit kelebihan-lah,”

kata Khuzaimi kepada Harimau Malaya.

Seperti yang dapat dilihat sewaktu separuh masa kedua menentang Brunei, beliau lebih banyak bergerak ke bahagian atas bagi membantu bahagian serangan.


Perkara itu diakui oleh Khuzaimi sebagai salah satu taktikal yang diarahkan oleh jurulatih bagi menguji kemampuan pemain untuk menyesuaikan diri dengan cara permainan yang akan digunakan.

Terdapat beberapa kesilapan yang dapat dikesan sewaktu perlawanan tempoh hari meskipun pasukan negara berjaya mencatat kemenangan selesa ke atas negara jiran tersebut.

“Bagi kami, setiap kesilapan yang kami lakukan kami perlu perbaiki sebab kita tahu dalam kelayakan Piala Asia setiap kesilapan boleh membawa padah.” katanya.

Kredibiliti Khuzaimi dan barisan pertahanan negara akan sekali lagi diuji pada pertemuan menentang Hong Kong yang dibarisi oleh ramai pemain naturalisasi.

Kesemua pemain akan diuji oleh Pan-gon menjelang senarai akhir pemain yang akan dipilih untuk menyertai pasukan di dalam kempen kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlansung pada bulan Jun.

“Kami akan diberitahu tentang kesebelasan utama sebelum perlawanan, jadi apa yang anda perlu lakukan adalah untuk bersedia dan sesiapa yang bermain sekalipun, kami akan berikan yang terbaik.”

Situasi ini jelas menunjukkan bahawa tiada pemain yang diberikan layanan istimewa oleh jurulatih dari Korea Selatan tersebut dalam memilih kesebelasan utama pada setiap perlawanan.

Kesemua pemain perlu hadir pada hari perlawanan dalam keadaan yang cukup bersedia untuk memberikan aksi sepenuh jiwa sekiranya dipilih sebagai kesebelasan utama pada perlawanan tersebut.

Perlawanan terakhir pasukan Hong Kong sebelum ini adalah menentang pasukan Bahrain dalam pusingan kelayakan Piala Dunia di mana mereka telah tewas dengan jaringan 4-0.