Pernah lalui detik hitam digantung 20 bulan, isteri jadi pembangkit semangat Syihan Hazmi

14,895

Kejayaan yang dikecapi penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi ketika ini tidak datang bergolek begitu sahaja dan beliau terpaksa melalui pelbagai liku-liku dalam kariernya.

Pemain Negeri Sembilan itu pernah melalui detik hitam digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 20 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) pada 2018.


Isteri kepada Syihan Hazmi, Siti Nabila Syakirin atau lebih mesra dengan nama ‘Biey Suyien’ menceritakan ketika tempoh Syihan digantung akibat gagal ujian ‘doping’ ketika kejohanan AFC B-23 2018 di China.

Menurutnya Syihan ketika itu terpaksa melupakan seketika karier bola sepaknya dan membantu perniagaannya.

“Ketika itu kehidupan Syihan berubah kerana dia tidak boleh aktif bermain bola sepak secara profesional yang merupakan sumber pendapatannya.

Dan masa itu Syihan bantu kembangkan bisnes saya dan fokus berniaga, dia pun beberapa kali bertanya bila akan masuk padang semua,”

katanya kepada Harimau Malaya

Menurutnya Syihan menerima berita gembira saat kelahiran cahaya mata pertamanya pada 2019 apabila ejennya menelefon untuk memberitahu bahawa tempoh penggantungannya hampir tamat dan beliau mempunyai beberapa tawaran daripada kelab tempatan.

Syihan akhirnya menyertai PJ City FC pada musim 2020 selepas tamat tempoh penggantungannya.

Tambah Biey, beliau amat bersyukur kerana Syihan akhirnya mencapai apa yang beliau mahukan, iaitu menyarung jersi Harimau Malaya, selepas dua tahun membina kembali namanya.

Dalam pada itu, Biey tidak risau dengan populariti yang semakin dikecapi Syihan dan percaya pasangannya itu akan kekal fokus kepada bola sepak.

“Saya kenal dia dan saya tahu bola sepak ini memang minat utama dia, cuma jika ada jemputan ke rancangan hiburan contohnya Meletop tempoh hari, dia akan hadir jika berkesempatan.

Lagipun medialah yang naikkan namanya jadi tidak mahulah nampak sombong apabila dah mula terkenal.”

Sementara itu, Biey juga faham populariti yang dikecapi Syihan menyebabkan ramai wanita yang mula meminati suaminya itu.

Menurutnya perkara itu tidak menjadi masalah asalkan peminat wanita tersebut turut menghormati statusnya sebagai isteri Syihan dan tidak melampaui batas.

Biey berkata Syihan telah memberitahunya mengenai perkara itu sebelum mereka berkahwin lagi dan dia sudah menjangkakan perkara itu.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen