Hassan Sazali gembira pemain belajar daripada kesilapan sebelum ini untuk tewaskan Vietnam

448

Ketua jurulatih B-19 negara, Hassan Sazali Waras memuji disiplin yang ditunjukkan barisan pemainnya selepas berjaya menumbangkan Vietnam 3-0 pada perlawanan separuh akhir Piala AFF B-19 petang tadi.

Menurut Hassan, anak buahnya berjaya memperbaiki kesilapan yang dilakukan pada perlawanan-perlawanan sebelum ini dan mengikut taktikal yang beliau terapkan.


“Kami ada buat analisis video mengenai kesilapan yang dilakukan mereka sebelum ini dan mereka berjaya mengurangkannya hari ini.

Permainan hari ini agak defensif kerana kita tahu kekuatan lawan dan pada masa yang kita lakukan serangan balas,”

katanya.

Dalam pada itu, Hassan tidak kisah sama ada bertemu Thailand atau Laos pada perlawanan akhir nanti dan menyifatkan kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan tersendiri.

Menurutnya, apa yang penting adalah beliau mahu fokus bagi mempersiapkan pasukan untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

Pada perlawanan tersebut, Malaysia berada di hadapan seawal minit ke-27 melalui jaringan Adam Farhan sebelum Haiqal Haqeemi menggandakan jaringan pada minit ke-70.

Haykal Danish membunuh harapan Vietnam menerusi jaringan pada minit ke-87 sekaligus membawa pasukan negara ke pentas akhir buat kali keempat berturut-turut.

Malaysia akan bertemu Laos pada perlawanan akhir nanti selepas mereka berjaya menumpaskan Thailand 2-0 pada separuh akhir kedua pada malam tadi.