Sharul Nazeem tak tolak sekiranya diberi peluang menyarung jersi Harimau Malaya, janji beri yang terbaik

1,172

Pemain pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem bersedia sekiranya ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon memanggil beliau untuk menyertai kem latihan skuad negara.

Pemain muda ini semakin mendapat perhatian daripada penyokong bola sepak negara tatkala beliau berjaya mempamerkan aksi berkualiti pada beberapa perlawanan sebelum ini.


“Kalau saya diberi rezeki untuk dipanggil ke pasukan kebangsaan, saya akan pergi dan lakukan yang terbaik.

Doakan supaya tiada kecederaan yang berlaku kepada saya sekiranya diberi peluang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu, Sharul pernah dipanggil menyertai latihan pusat skuad negara namun beliau tidak berjaya disenaraikan dalam senarai 25 orang pemain skuad Harimau Malaya yang dibawa ke kejohanan FAS Tri-Nation Series 2022 di Singapura.

Pada masa sama, Sharul tidak ingin menunding jari kepada mana-mana pihak atas kekalahan berturut-turut yang dialami oleh pasukannya.

Kekalahan pada malam ini terus menambah duka kepada pasukan Selangor selepas mereka sebelum ini tewas di tangan pasukan Sri Pahang FC.

“Bagi saya tiada sebarang masalah, kita tidak boleh menyalahkan sesiapa termasuk jurulatih dan pemain.

Kami perlu cepat perbaiki menjelang permainan seterusnya.”

Dalam pada itu, pemain berusia 22 tahun ini ingin segera melupakan kesedihan ini dan memberi fokus sepenuhnya kepada perlawanan seterusnya yang bakal dihadapi oleh mereka.

Terengganu FC akan menjadi lawan seterusnya apabila mereka dijadual bertemu pada 6 Ogos ini di saingan separuh akhir Piala FA.

Ketua jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner perlu segera memperbaiki kekurangan pasukannya menjelang aksi getir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Tambahan pula, Selangor buat masa ini mempunyai rekod yang kurang memberangsangkan ketika beraksi di tempat lawan.

“Semestinya saya sudah bersedia kerana itu merupakan peluang terbaik saya untuk mara ke perlawanan akhir.

Saya hendak mendapatkan pengalaman bermain di pentas akhir, bagi saya kami akan buat yang terbaik dan belajar dari kesilapan.”

Aksi berkualiti Sharul di bahagian pertahanan akan terus ditagih untuk memastikan slot mara ke perlawanan akhir Piala FA dapat dicapai untuk menghidupkan peluang mereka ke peringkat Asia.