Jaring gol bertaraf Puskas di minit akhir permainan, Sean Selvaraj tutup mulut pengkritik ketika di Selangor FC

2,371

Perlawanan Liga Super antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC menyaksikan penonton dihidangkan dengan pelbagai drama dalam tempoh 90 minit permainan.

Comeback pada saat akhir, kontroversi keputusan pengadil dan gol berkelas dunia menghangatkan lagi perlawanan antara kedua-dua pasukan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya itu.


Yang paling mencuri perhatian sudah tentu jaringan minit-minit akhir pemain gantian, Sean Selvaraj yang menghadiahkan tiga mata buat pasukan pelawat.

Sean, yang berpindah dari Selangor ke Negeri Sembilan awal musim ini menjadi duri dalam daging buat bekas kelabnya dengan jaringan cantik daripada luar kotak penalti, yang juga merupakan jaringan keduanya dalam Liga Super musim ini.

Ketika bersama Selangor, beliau pernah dikritik hebat oleh penyokong yang tidak berpuas hati dengan persembahannya.

Sean yang mendapat jolokan ‘Seanaldo’ juga sering memanaskan bangku simpanan menyebabkannya membuat keputusan untuk mengubah haluan.

Sebelum perlawanan semalam, sebilangan penyokong Selangor turut yakin bahawa pasukan mereka tidak akan tewas kerana mempunyai rekod cemerlang di laman sendiri musim ini dengan lapan perlawanan dalam seluruh pertandingan tanpa kalah.

Jaringan Sean pada minit ke-88 itu akhirnya berjaya menutup mulut penyokong Merah Kuning yang pernah mengkritiknya dulu dan juga meleburkan rekod tanpa kalah di laman sendiri buat Selangor.

Negeri Sembilan pula melebarkan rekod cemerlang tanpa kalah di gelanggang lawan dalam saingan liga musim ini kepada tujuh perlawanan.

Apa yang lebih membanggakan untuk Sean ialah, jaringan cantiknya turut mendapat perhatian daripada media-media sukan antarabangsa yang turut terkesima dengan rembatan kaki kanannya itu, misalnya Bleacher Report.

Mungkin ini adalah satu isyarat buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menghantar gol tersebut kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk dicalonkan dalam Anugerah Puskas.

Siapa tahu pemain tempatan akan sekali lagi berdiri megah di pentas dunia selepas bekas pemain Penang, Mohd Faiz Subri melakukannya pada 2016.