Selangor terus dihimpit kekecewaan, sudah tiba masa untuk jurulatih lain kembalikan zaman kegemilangan ‘King of Malaya’

558

Pasukan belia Selangor FC telah berjaya mempamerkan aksi cukup berkualiti di perlawanan kedua suku akhir Piala Belia 2022 untuk menundukkan skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dengan 7-0.

Namun, kegembiraan kelab Merah Kuning tidak berlanjutan selepas pasukan utama tewas 3-2 di tangan pasukan Negeri Sembilan FC di Liga Super pada hari yang sama.


Lebih menyedihkan kekalahan tersebut berlaku selepas skuad Gergasi Merah berjaya memperoleh dua jaringan gol di hadapan pasukan lawan pada aksi babak pertama.

Kekalahan kepada Negeri Sembilan ini juga telah meleburkan rekod cemerlang pasukan Selangor sepanjang beraksi di gelanggang sendiri pada musim ini.

Kekecewaan ini terus menimbulkan kemarahan di kalangan peminat setia pasukan Selangor yang kurang senang dengan aksi tidak konsisten pada musim ini.

Tekanan ke atas ketua jurulatih, Michael Feichtenbeiner dilihat semakin memuncak sehingga ada sekumpulan penyokong yang telah menaikkan kain rentang untuk menyuarakan kehampaan terhadap corak permainan yang diterapkan oleh jurulatih tersebut.

Sehingga ke hari ini, para penyokong masih tertanya-tanya hala tuju yang ingin dibawa oleh pihak pengurusan yang terus memberikan peluang kepada pengendali dari Jerman ini.

Selepas 13 perlawanan liga, DNA Jerman yang dibawa oleh Feichtenbeiner dilihat masih gagal memberikan impak yang diinginkan untuk membantu pasukan mencapai konsistensi dan memberi saingan yang kuat untuk berada di tangga teratas.

Berkemungkinan besar, masalah pampasan menjadi antara penyebab utama khidmat Feichtenbeiner terus dikekalkan oleh pasukan sehingga ke hari ini.

Namun, perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana kegagalan demi kegagalan akan menyebabkan kemorosotan berpanjangan terus dialami oleh pasukan Selangor yang sebelum ini cukup digeruni oleh pihak lawan.

Terdapat beberapa calon jurulatih yang dilihat sesuai untuk mengambil tanggungjawab membimbing pasukan sekurang-kurangnya selaku jurulatih ‘interim’ sementara menunggu pengganti yang lebih sesuai.

Ketua jurulatih B-19 Selangor, Firdaus Tan antara nama yang sesuai untuk menggalas tanggungjawab ini.

Terdahulu, Firdaus pernah dicalonkan sebagai salah seorang pembantu jurulatih pasukan kebangsaan di bawah kendalian Kim Pan-gon sebelum E.Elavarasan dipilih.

Beliau juga merupakan orang yang bertanggungjawab membimbing skuad muda Selangor untuk beraksi cemerlang di saingan Piala Belia musim ini.

Selain itu, pembantu jurulatih skuad utama, Nidzam Jamil juga mempunyai kredibiliti dan pengalaman yang mencukupi untuk diangkat sebagai jurulatih sementara pasukan Selangor.

Sebelum ini, Nidzam pernah menjadi ketua jurulatih pasukan Felda United FC pada tahun 2019 selepas B. Sathianathan meninggalkan pasukan tersebut.

Faktor-faktor seperti ini perlu dipertimbangkan oleh pihak pengurusan untuk memastikan pasukan ini dibimbing oleh seorang ketua jurulatih yang mampu memacu pasukan kembali mencapai kejayaan demi kejayaan.

Diharap agar solusi terbaik dapat dicapai secepat mungkin oleh pasukan ini untuk mengembalikan kegemilangan mereka sebagai ‘King of Malaya’.