Fayadh Zulkifli akur kekuatan JDT, gembira diberikan peluang selaku kesebelasan utama

585

Pemain sayap Kedah Darul Aman (KDA) FC, Fayadh Zulkifli pasrah dengan kekalahan 3-1 yang dihadapi oleh pasukannya sewaktu bertemu dengan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim FC.

Meskipun mendahului perlawanan, pasukan Kedah dilihat mula bergelut menuju ke penghujung babak pertama sebelum kehilangan rentak pada separuh masa kedua.  


Malang berganda buat Kedah selepas pengadil menghadiahkan penalti kepada pasukan lawan pada minit ke-60 yang telah disempurnakan oleh Leandro Velazquez.  

“JDT memang pasukan yang kuat di Malaysia, kami sudah berikan yang terbaik jadi kami terima dengan keputusan yang diterima pada malam ini.

Penalti jadi salah satu punca yang menjatuhkan moral para pemain, sukar untuk kami kembali bangkit apabila bertemu pasukan seperti JDT,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Skuad Sang Kenari perlu segera bangkit tatkala mereka bakal berdepan dengan lawan yang sukar selepas ini seperti Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC serta sekali lagi dijadual bertemu JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 Oktober.

Mereka perlu kembali memperkemaskan corak permainan terutama sekali dalam mengekalkan penguasaan permainan sepanjang 90 minit permainan.

“Daripada perlawanan malam ini kita telah banyak belajar dan kami akan perbaiki segala kesalahan untuk bertemu dengan JDT kembali selepas ini.”

Dalam pada itu, Fayadh tetap gembira dengan peluang yang diberikan oleh pengendali pasukan, Aidil Sharin yang memasukkan beliau sebagai kesebelasan utama.

Pemain berusia 24 tahun tersebut berjaya mempamerkan aksi menyakinkan menerusi kawalan pergerakan lincah beliau.

Namun, kekebalan barisan pertahanan JDT jelas mengekang kemaraan Fayadh untuk terus mengasak gawang lawan yang dikawal rapi oleh Farizal Marlias.

“Jurulatih meletakkan harapan untuk saya tunjukkan kemampuan saya dan berikan yang terbaik.

Saya sudah lakukan yang terbaik, terima kasih kepada jurulatih kerana mempercayai saya sebagai kesebelasan utama pada hari ini.”