Aidil Sharin akui gol penalti JDT jadi punca mereka rebah di Darul Aman

695

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak mengakui gol penalti Johor Darul Ta’zim (JDT) di awal separuh masa kedua telah melemahkan semangat pemainnya dan menjadi punca mereka tewas 3-1 di Stadium Darul Aman malam tadi.

“Kami berjaya mengimbangi permainan pada separuh masa pertama tetapi apabila mereka (JDT) dihadiahkan penaliti pada awal separuh masa kedua ia nyata melemahkan semangat pemain saya dan gol ketiga adalah daripada kesilapan kita sendiri.

Jika JDT tidak mendapat gol kedua, saya percaya ia akan menjadi perlawanan yang berbeza,”

katanya.

Aidil bagaimanapun enggan menyalahkan anak buahnya kerana mereka sudah bekerja keras dan memberikan yang terbaik, namun apabila melakukan kesilapan mudah menentang pasukan hebat seperti JDT sudah pasti akan dihukum.


KDA FC bermula dengan garang pada separuh masa pertama apabila berjaya mengimbangi perlawanan dan berjaya mendahului menerusi jaringan penyerang Ronald Ngah Wanja pada minit ke-12.

Namun tidak lama kemudian penyerang sensasi Harimau Selatan, Bergson da Silva menyamakan kedudukan pada minit ke-37.

Perlawanan menjadi tegang apabila Bergson dilayakan kad merah apabila bertindak menumbuk pemain lawan pada penghujung babak pertama.

Masuk babak kedua, JDT terus menyerang walaupun bermain dengan 10 orang pemain dan berjaya mendapatkan sepakan penalti pada minit ke-60 yang disempurnakan oleh Leandro Velázquez.

JDT mengesahkan tiga mata penuh mereka pada minit ke-79 menerusi jaringan Afiq Fazail.

Dalam pada itu, pengendali dari Singapura itu mengucapkan terima kasih dan sangat menghargai sokongan penyokong yang telah hadir pada perlawanan malam tadi yang mana ia telah membakar semangat pemain untuk pamerkan aksi terbaik mereka.

Menurut kehadiran peminat ke stadium amat penting kerana bola sepak nothing tanpa penyokong di belakang.

“Saya sangat hargai penyokong dan seperti yang saya kata sebelum ini bola sepak nothing tanpa penyokong. Kita dapat lihat kehadiran ribuan penyokong malam tadi memperlihatkan pemain memberi aksi lebih baik pada separuh masa pertama dan harap penyokong akan terus datang menyokong kami.”

Sementara itu, Aidil juga berkata beliau akan terus memberi peluang kepada pemain muda untuk beraksi bagi mereka merasai pengalaman beraksi dalam saingan liga supaya mereka dapat bersedia untuk beraksi pada musim hadapan.