Marc Vales beri pujian buat Syafiq Ahmad, bijak manfaat peluang untuk peroleh penalti

337

Pemain pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Marc Vales Gonzalez memuji bekas rakan sepasukannya, Syafiq Ahmad yang bijak memanfaatkan peluang untuk memperoleh sepakan penalti di saat yang cukup genting.

Kekasaran yang dilakukan oleh pertahanan Kedah menyebabkan pengadil memberi sepakan penalti kepada pasukan Johor Darul Ta’zim FC pada minit ke-60.


Keputusan tersebut menimbulkan persoalan di kalangan peminat serta pemain pasukan Kedah yang menganggap tindakan tersebut adalah tidak tepat.

“Tentang penalti, saya perlu akui Syafiq melakukan tindakan yang bijak pada ketika itu.

Saya tidak akan menyalahkan pengadil sepenuhnya tetapi saya harap mereka lebih memahami perlawanan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Gonzalez terpaksa akur dengan keputusan penuh perlawanan meskipun beliau dan rakan sepasukan berjaya mempamerkan aksi memberangsangkan pada awal perlawanan.

Asakan demi asakan yang dilancarkan oleh barisan serangan JDT sedikit sebanyak menyebabkan kelonggaran di kubu pertahanan Kedah dapat dilihat.

Hasilnya, dua jaringan berjaya dihasilkan oleh pemain JDT menuju ke penghujung perlawanan.

“Sudah jelas perlawanan terbahagi kepada dua, kami bersaing dengan baik dan berjaya menjaringkan gol.

Babak kedua kami hilang punca walaupun berkelebihan dengan seorang pemain, kami teragak-agak dan kehilangan rentak serta melakukan kesilapan.”

Walau bagaimanapun, Gonzalez berharap agar kekalahan ini tidak akan melemahkan semangat para pemain untuk kembali bangkit selepas ini.

Negeri Sembilan FC bakal menjadi pencabar seterusnya buat mereka sebelum sekali lagi bertemu JDT pada 11 Oktober ini.

Ketua jurulatih, Aidil Sharin perlu mencari formula terbaik bagi memastikan anak buahnya dapat mencapai kemenangan pada baki tiga perlawanan.

“Tiga perlawanan selepas ini adalah sukar kerana kami bakal bertemu dengan tiga pasukan yang berada di tangga teratas.

Tetapi kami akan menghadapi perlawanan demi perlawanan dan cuba memenangi setiap perlawanan.”

Kedah kini berada di tangga keenam selepas hanya berjaya mengumpul 27 mata keseluruhan menerusi lapan kemenangan dan tiga keputusan seri yang telah diraih sepanjang 19 perlawanan.