Jadi buruan banyak kelab, Syafiq Ahmad patut pertimbang minit permainan demi masa depan Harimau Malaya

4,145

Pada perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC semalam, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad menjadi duri dalam daging buat bekas kelabnya apabila berjaya memperoleh sepakan penalti yang disempurnakan Leandro Velazquez yang membolehkan Harimau Selatan berada di hadapan.

Walaupun Syafiq jarang diturunkan selepas dipanggil daripada pinjaman di Kedah, beliau tetap mampu mempamerkan persembahan yang mantap apabila beraksi.


Ini mungkin ada kaitan dengan latihan berintensiti tinggi yang diterapkan di JDT serta fasiliti baik yang ada di kelab itu membolehkannya terus mengekalkan prestasi.

Beliau juga masih mampu memikat ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon mengekalkannya dalam skuad pada kejohanan King’s Cup baru-baru ini dan juga dilantik sebagai salah seorang ketua pasukan.

Mungkin kerana Syafiq mempunyai karakter yang diminati oleh Pan-gon kerana jurulatih yang berasal dari Korea Selatan itu pernah berkata bahawa beliau tidak mementingkan minit permainan dan melihat kepada karakter pemain.

Namun, jika Syafiq masih kerap memanaskan bangku simpanan musim depan, kedudukannya dalam skuad kebangsaan mungkin boleh terjejas menjelang kejohanan Piala Asia tahun depan.

Ini kerana, pasukan Liga Super akan meningkat kepada 18 pasukan musim depan dan Pan-gon bakal mempunyai pilihan penyerang yang lebih ramai lagi dengan persaingan yang semakin meningkat, lebih-lebih lagi dengan beberapa pemain import yang akan dinaturalisasikan oleh kelab masing-masing.

Sudah tentu juga pemain-pemain yang baru dinaikkan pangkat ke Liga Super musim depan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan kualiti mereka.

Sekiranya Syafiq mahu terus memastikan namanya berada dalam rancangan Pan-gon, mungkin jalan yang terbaik adalah keluar, sama ada secara tetap atau pinjaman, ke kelab lain bagi mendapatkan minit permainan.

Baru-baru ini, ketua jurulatih Perak FC yang baru, Lim Teong Kim menyatakan minatnya untuk mendapatkan Syafiq bagi saingan musim depan.

Bergabung dengan Teong Kim boleh jadi satu langkah tepat untuk beliau meningkatkan tahap permainannya untuk mengulangi zaman kemuncaknya ketika di Kedah dahulu.

Perak yang kini dimiliki oleh syarikat gergasi telekomunikasi, XOX Sdn. Bhd. Sudah tentu tidak mempunyai masalah dari segi kewangan untuk mendapatkan serta membayar khidmat pemain itu.

Dan mereka sudah tentu akan berusaha sedaya upaya untuk memberi Teong Kim apa yang beliau mahukan bagi memastikan Perak kembali menjadi salah satu kuasa bola sepak di negara ini.

Selangor FC pula yang nampaknya sedang melakukan ‘overhaul’ untuk musim depan juga dilaporkan salah satu kelab yang berminat membawa Syafiq musim depan.

Kelab itu dilihat sedang berada di landasan yang betul untuk bangkit semula di bawah pimpinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dengan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih baru serta Dennis Bekking sebagai pengarah teknikal baru.

Syafiq juga pernah bermain dan menyinar di bawah Cheng Hoe, jadi beliau sudah tentu tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan ‘Cheng-Hoe Ball’.

Satu lagi destinasi yang boleh dipertimbangkan adalah kembali semula ke Kedah walaupun mungkin agak sukar berlaku.

Ketika dipinjampkan ke kelab itu awal musim ini, Syafiq menampilkan persembahan yang memberangsangkan dengan mencatatkan dua gol serta empat bantuan gol dalam sembilan perlawanan.

Sekiranya beliau sekali lagi menyertai Kedah, beliau pastinya tidak memerlukan masa untuk mendapatkan rentak semula.

Jika ketua jurulatih Kedah, Aidil Shahrin masih berada di kelab itu musim depan, beliau juga semestinya akan menerima semula pemain itu dengan tangan terbuka.

Syafiq boleh dikatakan sebagai penyerang tempatan yang paling hangat di pasaran ketika ini, lebih-lebih lagi dengan situasinya di JDT.

Sekiranya beliau dahagakan minit permainan, tiada masalah untuknya kerana banyak saja kelab yang berminat membawanya masuk.