Tercalon bagi jawatan Ahli Majlis FIFA, Hamidin mampu naikkan kembali reputasi Malaysia di mata dunia

1,230

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) baru-baru ini mengumumkan calon-calon bagi pemilihan Jawatankuasa Eksekutifnya untuk penggal 2023 hingga 2027 yang akan diadakan di Kongres AFC ke-33 di Manama, Bahrain pada 1 dan 2 Februari 2023.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin telah dicalonkan bagi jawatan Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) mewakili AFC.


Beliau dicalonkan bersama enam calon lain iaitu Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia Timur (EAFF) dari China, Du Zhaocai; Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), Kohzo Tashima; Presiden Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA), Chung Mong-gyu; Presiden Persatuan Bola Sepak Filipina, Mariano Araneta, Jr; Presiden Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA), Sheikh Hamad Khalifa Ahmed Al-Thani dan Presiden Persatuan Bola Sepak Arab Saudi, Yasser H. Almisehal.

Hanya lima nama tersebut yang akan dipilih bagi jawatan itu dengan seorang lagi wakil dipilih daripada Ahli Jawatankuasa Eksekutif Wanita AFC.

Berdasarkan nama-nama tersebut, saingan dilihat sangat sengit buat Hamidin lebih-lebih lagi berdepan dengan wakil daripada negara-negara besar dalam konfederasi berkenaan.

Namun, dengan kewibawaan yang dimiliki oleh presiden FAM itu dan juga hubungan baik serta pengaruhnya dalam bola sepak rantau ini, tidak mustahil beliau mampu menjadi wakil Malaysia dalam Jawatankuasa Eksekutif badan tersebut.

Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil dalam Jawatankuasa Eksekutif AFC adalah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Naib Presiden AFC pada 2002 hingga 2015 dan juga Ahli Majlis FIFA pada 2015 hingga 2019.

Sekiranya Hamidin dipilih memegang jawatan tersebut, beliau akan meneruskan kesinambungan Sultan Abdullah dan menjadi suara benua Asia dalam badan bola sepak dunia itu.

Ketika ini, jawatan Setiausaha Agung AFC juga turut diisi oleh wakil Malaysia iaitu Datuk Seri Windsor John.

Dengan penglibatan lebih ramai wakil negara dalam AFC, ia mampu mengangkat kembali reputasi Malaysia dalam badan tersebut yang satu ketika dahulu pernah dipimpin oleh wakil negara ini iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tan Sri Hamzah dan Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen