Pasang niat hantar pemain akademi TRW ke Portugal, Zamsaham beri ‘hint’ sudah kembangkan sayap di Eropah?

642

Sejak membeli Kelantan FC dua tahun lalu, pelbagai usaha yang dilakukan oleh Norizam Tukiman atau Zamsaham bagi meningkatkan tahap bola sepak di negeri itu.

Beliau mengambil alih Kelantan yang ketika itu bermasalah dan kini kelab itu dilihat sudah bersedia untuk kembali ke zaman kegemilangannya semula seperti awal 2010an.


Dalam usaha menjadikan kelab itu kembali disegani, Zamsaham bukan hanya menumpukan kepada pasukan utama tetapi juga tidak melupakan pembangunan akar umbi.

Kira-kira dua bulan lalu, beliau mengumumkan mahu membina sebuah akademi bola sepak dan baru-baru ini, Zamsaham berkata bahawa penubuhan akademi yang diberi nama TRW International Football Academy hampir menjadi kenyataan dan sedang berada di fasa terakhir.

Zamsaham pernah memberitahu bahawa lepasan akademi itu akan mempunyai peluang bermain untuk Kelantan FC, PSPS Riau dan juga sebuah kelab Portugal.

Adakah Zamsaham memberi bayangan bahawa beliau sudah memiliki atau sedang dalam proses membeli sebuah kelab di Portugal?

Umum mengetahui mengenai pemilikan beliau terhadap Kelantan dan juga PSPS Riau, dan sekiranya beliau mempunyai satu lagi kelab di Portugal, ini merupakan satu perkembangan yang cukup membanggakan.

Mungkin bukan kelab di liga utama, namun liga kedua juga sudah cukup bagus untuk pendedahan buat pemain muda.

Atau tidak mustahil juga ia hanyalah satu bentuk kerjasama supaya lepasan akademi tersebut mendapat peluang dan pengalaman beraksi di Eropah.

Ketika ini terdapat penyokong PSPS Riau yang tidak berpuas hati dengan Zamsaham dan mahu beliau berundur dari kelab tersebut.

Ini boleh jadi masanya Zamsaham fokus terhadap kelab di Portugal yang beliau maksudkan itu sama ada sebagai pemilik atau salah seorang pemegang saham.

Tidak mustahil satu hari nanti beliau boleh mengikut jejak langkah Tan Sri Vincent Tan dan juga Tan Sri Tony Fernandes yang melebarkan sayap mereka dalam bola sepak Eropah.