Masa depan Park Hang-seo masih jadi tanda tanya, peluang terbaik kelab Malaysia sambar khidmat beliau

3,206

Selepas lima tahun mengemudi pasukan kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo mungkin akan mengubah haluan beliau apabila kontraknya tamat pada Januari 2023 ini.

Ketika ini tiada sebarang kata putus mengenai pembaharuan kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF), dengan jurulatih berusia 65 tahun itu berkata beliau akan berbincang mengenai perkara itu pada bulan ini.


Memetik laporan media tempatan, beliau juga pernah berkata bahawa kejohanan Piala AFF hujung tahun ini mungkin atau mungkin bukan kejohanan terakhir beliau bersama pasukan itu.

Dengan segala pencapaian yang telah dilakukan oleh Hang-seo sejak mengambil alih pasukan Vietnam, sudah tentu VFF akan berusaha untuk terus mengikatnya.

Bukan sahaja memenangi Piala AFF 2018 serta menikkan ranking Vietnam daripada 134 ke 97 dunia beliau juga berjaya menerapkan gaya permainan pantas dan hantaran pendek yang menjadi nadi kekuatan pasukan Vietnam.

Namun, perkhabaran ini pastinya satu berita yang baik buat pasukan-pasukan di negara ini yang berhasrat membawa ketua jurulatih baru.

Masa depan Aidil Shahrin di Kedah Darul Aman FC ketika ini masih belum pasti lagi dan kemungkinan besar beliau akan ditunjukkan jalan keluar selepas musim berakhir.

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain juga pernah meluahkan hasrat untuk berpindah ke pasukan lain untuk merasai cabaran baru dalam kariernya.

Pasukan yang sedang meningkat naik, Kelantan FC juga hampir pasti tidak akan mengekalkan khidmat ketua jurulatihnya, Rezal Zambery Yahya musim depan, menurut apa yang dikatakan oleh pemiliknya, Zamsaham.

Selain itu, Sri Pahang FC juga masih belum mengumumkan mengenai status Dollah Salleh yang mengambil alih jawatan ketua jurulatih sementara sehingga penghujung musim ini selepas Christophe Gamel dilepaskan.

Keempat-empat pasukan ini juga dilihat tidak mempunyai masalah untuk membayar khidmat beliau dan mempunyai reputasi yang tinggi dalam bola sepak tempatan.

Mana-mana pasukan yang mampu membawa masuk Hang-seo sudah tentu akan mendapat manfaat daripada pengalaman serta kebijaksanaan taktikalnya.

Beliau juga pandai membangunkan pemain-pemain muda, jadi ini adalah satu nilai tambah yang tidak banyak dimiliki oleh jurulatih di negara ini.

Vietnam pula akan kehilangan seorang jurulatih yang amat berbakat dan boleh dikatakan antara jurulatih terbaik di Asia Tenggara ketika ini.