Melaka United terus terumbang ambing, masa terbaik untuk pemain mula angkat kaki

578

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Dato Seri Justin Lim secara terbuka berkongsi tentang perancangan beliau untuk menjual saham kelab tersebut.

Situasi ini berlaku ekoran daripada masalah semasa dihadapi oleh pasukan tersebut yang telah berpanjangan sekian lama.


Isu gaji sudah menjadi salah satu ‘tradisi’ buat pasukan ini yang menghadapi masalah sama setiap musim sehingga penyertaan mereka di Piala Malaysia terpaksa ditarik.

Berdasarkan apa yang terjadi, jendela perpindahan yang bakal dibuka pada penghujung musim ini adalah masa yang terbaik untuk pemain-pemain berpontensi besar untuk keluar mencari pasukan yang lebih baik dari segi pengurusan dan bakal menjamin kestabilan karier mereka.

Tambahan pula, perancangan untuk menjual saham kelab ini masih berada di dalam perancangan semata-mata dan belum ada mana-mana syarikat berpotensi yang sanggup mengambil alih segala kecelaruan yang sedang berlaku.

Melaka United sebenarnya memiliki ramai pemain berkualiti baik import mahupun tempatan yang mampu menyinar jika bersama dengan pasukan lain.

Antara pemain tempatan yang dilihat perlu segera ‘angkat kaki’ adalah pemain pertahanan, Wan Amirul Afiq yang sebelum ini pernah bersama pasukan Felda United.

Amirul yang beraksi di bahagian kanan merupakan antara pemain utama yang sering diturunkan bagi memperkuatkan pasukan.

Pemain berasal dari Kelantan ini mungkin boleh mula berfikir untuk kembali ke negeri kelahirannya untuk bersama samada pasukan TRW Kelantan FC atau Kelantan United FC.

Penjaga gol, Bryan See juga merupakan antara pemain yang perlu segera mencari peluang bersama pasukan lain.

Musim ini, Bryan telah diletakkan sebagai pilihan utama mengetepikan penjaga gol berpengalaman, Norazlan Razali.

Sepanjang 11 kali diturunkan, Bryan berjaya mengumpul dua clean sheets pada perlawanan menentang Negeri Sembilan FC dan Selangor FC.

Selain pemain tempatan, pemain import yang dimiliki oleh Melaka United mempunyai potensi yang cukup besar dan mampu menjadi antara pemain utama bersama kelab yang lain.

Sebagai contoh, Sony Norde merupakan nama besar yang sering dikaitkan dengan perpindahan ke kelab-kelab gergasi sebelum ini.

Dengan isu yang belum selesai, Norde perlu mula mempertimbangkan masa depan beliau sekiranya memperoleh tawaran dari mana-mana pasukan pada jendela perpindahan seterusnya.

Terdahulu, beliau dikatakan hampir meninggalkan pasukan pada jendela perpindahan kedua musim ini sebelum melakukan ‘pusingan U’ untuk kembali bersama Melaka United.

Norde merupakan salah seorang pemain terpenting buat pasukan dengan kelincahan yang dimiliki oleh beliau.

Aksinya di atas padang sentiasa berjaya memukau peminat pada setiap perlawanan dan sering menyebabkan pertahanan lawan berhadapan dengan kesukaran untuk mengawalnya.

Pemain kelahiran Haiti itu telah mengumpul lima bantuan jaringan sepanjang 13 perlawanan dan salah satu daripadanya telah berjaya membantu pasukan mengikat juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim FC 1-1 pada perlawanan di Stadium Hang Jebat pada Julai lalu.

Adriano dan Emannuel Oti juga memiliki kualiti tersendiri yang mampu menjadi sebuah aset yang besar sekiranya mereka bersama dengan pasukan yang lain.

Yang paling menarik perhatian adalah seorang lagi pemain import, Ifedayo Olesegun yang dikhabarkan bakal menjadi pemain naturalisasi musim hadapan.

Sekiranya perkara ini berlaku, Ifedayo pasti menjadi antara buruan utama berdasarkan prestasi beliau yang cukup tajam di bahagian hadapan pasukan.

Perak FC yang baru membawa masuk jurulatih berpengalaman, Lim Teong Kim mungkin menjadi pilihan terbaik tambahan pula kelab tersebut sedang dalam usaha membina semula sebuah pasukan yang mampu memberikan saingan kuat di dalam saingan liga.

Dengan penambahan kuota pemain import di dalam saingan Liga Super musim depan, para pemain ini memiliki peluang yang cukup besar untuk bersama dengan pasukan lain yang sedang mencari pemain import yang dapat menyesuaikan diri dengan segera.

Ia akan menjadi sebuah risiko yang besar sekiranya mereka terus kekal bersama pasukan dan berharap akan ada sebuah syarikat atau organisasi yang sanggup mengambil tanggungjawab dalam menyelamatkan pasukan.

Lihat apa yang berlaku kini, KenTeam Sdn Bhd yang sebelum ini dicanang sebagai wira kini turut menemui jalan buntu.

Lebih menyedihkan, perkembangan karier pemain muda seperti Harith Naem yang baru berusia 20 tahun sudah semestinya sedikit terkesan dengan perkara yang berlaku.

Sesuatu perlu dilakukan segera untuk mendapatkan keadilan buat semua pemain Melaka United!