JDT harus waspada dengan Pablo Dollah, Sri Pahang FC mampu calar rekod tanpa kalah Harimau Selatan

1,169

Berbaki tiga lagi perlawanan Liga Super musim ini, ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh mempunyai misi untuk memperbaiki kedudukan liga mereka.

Walaupun bakal berdepan lawan yang sukar bermula dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) esok, Sabah FC (11 Oktober) dan Negeri Sembilan FC (15 Oktober), Dollah mahu mengutip sebanyak mungkin mata menjelang saingan Piala Malaysia.


JDT ketika ini berada dalam momentum yang terbaik untuk menamatkan saingan liga tanpa sebarang kekalahan selepas mencatatkan kemenangan ke atas Kedah Darul Aman Selasa lalu walaupun beraksi dengan 10 pemain.

Dengan tekad yang ditunjukkan oleh Dollah, mampukah beliau menjadi jurulatih pertama yang menewaskan pasukan JDT musim ini?

Sejak mengambil alih Sri Pahang sebagai ketua jurulatih sementara pada pertengahan musim ini, Dollah telah berjaya meningkatkan prestasi pasukan daripada kelompok tercorot liga.

Ini pastinya memberi motivasi buat dirinya untuk membuktikan bahawa beliau antara jurulatih tempatan terbaik ketika ini.

Sekiranya beliau menjadi jurulatih pertama yang menewaskan JDT, sudah tentu ia boleh dijadikan modal untuknya terus mengendalikan itu pasukan musim depan.

Tambahan pula, jika Sri Pahang berjaya memperbaiki kedudukan mereka dalam liga, ia mungkin memberi manfaat dari segi undian Piala Malaysia.

Dengan peningkatan yang ditunjukkan Sri Pahang sejak di bawah kendalian Dollah serta pengarah teknikal, Fandi Ahmad, mereka adalah satu pasukan yang harus diberi perhatian dalam saingan Liga Super musim depan.

Pada perlawanan pertama di Stadium Sultan Ibrahim Mei lalu, Sri Pahang berjaya memberikan cabaran yang hebat dan hampir-hampir menang sebelum JDT dihadiahkan sepakan penalty di saat-saat akhir permainan.

Dengan kelebihan sebagai tuan rumah kali ini, tidak mustahil Sri Pahang mampu menjadi pasukan pertama yang mampu menewaskan JDT.