PJ City, Selangor & Sri Pahang akan pamer aksi terbaik dalam baki saingan liga bagi elak jumpa JDT di pusingan pertama Piala Malaysia

1,962

Tiga pasukan Liga Super iaitu PJ City FC, Selangor FC dan Sri Pahang FC dijangka akan bertemu dengan juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pusingan pertama saingan Piala Malaysia yang akan bermula pada 25 Oktober ini.

Ketiga-tiga pasukan ini berkemungkinan akan bertemu dengan juara liga sembilan kali berturut-turut selepas Malaysian Football League (MFL) telah membuat majlis undian Piala Malaysia 2022 yang menyaksikan JDT telah diundi dalam posisi lapan.


Lawan JDT adalah pasukan yang berkedudukan ke sembilan Liga Super yang mana ketika ini diduduki oleh PJ City FC.

Bagaimanapun kedudukan itu mungkin berubah berikutan saingan liga masih berbaki tiga perlawanan dengan Selangor FC dan Sri Pahang FC juga berkemungkinan akan bertemu JDT jika mereka keciciran mata.

Ini kerana PJ City kini mengumpul 20 mata, Selangor pula 23 mata, manakala Sri Pahang pula 24 mata.

Jarak mata yang sedikit akan membuatkan ketiga-tiga pasukan ini akan memberikan aksi terbaik mereka bagi memastikan mereka tidak bertemu dengan Harimau Selatan pada pusingan pertama.

Undian lebih awal ini nampaknya akan memberikan impak positif apabila peminat bakal disajikan dengan aksi yang cukup menarik terutamanya pasukan Selangor dan Sri Pahang yang kini kembali mendapat rentak kemenangan.

PJ City berdepan laluan yang sedikit sukar apabila bakal bertemu dengan Selangor, Penang FC dan KL City FC dimana berdasarkan prestasi semasa The Phoenix, mereka berkemungkinan mampu mengutip sekurang-kurangnnya empat mata.

Sumber: MFL

Manakala Selangor pula dijangka akan mudah mengutip sekurang-kurangnya enam mata apabila mereka PJ City, Sarawak United FC dan Penang. Dengan prestasi semasa anak buah Tan Cheng Hoe, Gergasi Merah kuning dijangka mampu mengutip tiga mata penuh menentang Sarawak United dan Penang.

Sementara itu, Sri Pahang pula berdepan laluan sukar untuk mengutip mata semaksima mungkin berikutan akan menentang tiga pasukan teratas liga iaitu JDT, Sabah FC dan Negeri Sembilan FC.

Ini menjadikan persaingan antara ketiga-tiga pasukan ini akan cukup menarik sebagaimana mereka sudah pasti akan berusaha untuk cuba mengelak dari bertemu dengan JDT sekaligus dapat melangkah dengan lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia pada musim ini.

Walaupun ketika ini hanya tiga pasukan yang dilihat akan cuba mencari kemenangan dalam baki saingan liga, namun peminat juga perlu ambil perhatian dengan pasukan Kedah Darul Aman FC yang berada pada kedudukan keenam liga ketika ini dengan 27 mata.

Kedah turut mempunyai baki tiga perlawanan yang cukup sukar iaitu menentang JDT, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Jika mereka gagal mengutip sebarang mata dalam ketiga-tiga perlawanan itu dan ketiga-tiga pasukan PJ City, Selangor dan Sri Pahang berjaya kutip mata maksimum ada kemungkinan Sang Kenari akan bertemu JDT.

Apa-apa pun sama-sama kita saksikan baki perlawanan Liga Super untuk menyaksikan pasukan mana akan bertemu dengan JDT dan lain-lain dalam saingan Piala Malaysia 2022.