Pemotongan mata menanti kelab bermasalah pada musim depan

381

Saban tahun masalah tunggakan gaji pemain dan pengawai bola sepak sentiasa terjadi dan situasi ini nampaknya masih belum menemui tanda nokhtah apabila ia semakin kerap berlaku terutamanya pasukan Melaka United FC.

Isu membabitkan pasukan Melaka United semakin berlarutan apabila sehingga kini masalah tunggakan gaji masih belum selesai dan pihak Malaysian Football League (MFL) sebelum ini telah membuat keputusan membatalkan penyertaan pasukan itu dalam saingan Piala Malaysia pada musim ini.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL iaitu Stuart Ramalingam, nasib skuad Hang Tuah akan diketahui selepas persidangan pelesenan kelab bagi musim 2023 oleh First Instance Body (FIB) dan Jawatankuasa Pelesenan yang akan bersidang pada 11 dan 12 Oktober ini.

“Apa yang saya boleh katakana adalah Jawatankuasa Pelesenan dan FIB telah mengambil maklum dengan apa yang berlaku dalam tempoh dua tiga tahun ini. Melaka United masih belum menyelesaikan masalah mereka.

Mengenai kalau dapat lesen adalah perkara di luar bidang saya untuk jawab. Keputusan tataterbit daripada Ahli Lembaga Pengarah atau pun dari Jawatankuasa Pelesenan boleh diambil jikalau perlu. Bagi saya ketika ini apa yang penting adalah lesen, tataterbit datang kemudian,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, tindakan pemotongan mata tidak akan dikenakan kepada Melaka United seperti yang dikenakan kepada pasukan Perak FC sebelum ini.

“Saya perlu jelaskan di sini Perak tiada masalah sebelum dapat lesen. Mereka hanya berdepan masalah selepas dapat lesen. Jadi bila dia (Perak) dapat lesen untuk tahun baru 2022 baru bermulanya isu tunggakan gaji.

Untuk situasi Melaka United tidak guna potong mata kerana tiada penyingkiran ke divisyen bawah, jadi penyingkiran dari Piala Malaysia lebih ketara untuk tahun ini. Tahun depan jika berlaku lagi pada masa-masa pasukan tindakan pemotongan mata akan dikenakan kerana ia lebih berharga buat mana-mana pasukan.”

Dalam pada itu, keputusan untuk membatalkan penyertaan Melaka United dalam saingan Piala Malaysia telah menyaksikan Penang FC yang berada di tangga tercorot Liga Super mendapat ‘talian hayat’ apabila mereka dipilih sebagai pasukan pengganti.

Sementara itu, Stuart turut mengulas mengenai khabar angin mengenai kelab Liga Super iaitu PJ City FC yang dikatakan mahu membeli atau bergabung dengan kelab dari Liga M3 iaitu Harini FT.

Walaupun beliau masih belum dapat mengesahkan perkara tersebut, namun beliau lebih memilih pasukan berkualiti dari kuantiti.

Jelasnya, jika liga mempunyai banyak pasukan sekalipun tapi ada yang bermasalah juga tidak guna kerana ia tidak menyumbang nilai komersial liga sebaliknya akan memberi kesan kepada pasukan yang tidak terlibat dan juga seluruh liga.