Tiada masalah ‘final’ di SNBJ tetapi kami perlukan kira-kira 30,000 penyokong untuk ‘cover’ kos – Bojan Hodak

3,095

Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak menyambut baik cadangan orang ramai untuk mengadakan perlawanan akhir Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Namun menurutnya, jumlah penyokong mungkin menjadi penghalang terbesar kerana bimbang tidak dapat menanggung kos yang dikeluarkan untuk menganjurkan perlawanan itu di SNBJ.


“Saya dan pemain tiada masalah untuk bermain di Bukit Jalil kerana kami mempunyai memori yang baik di situ dalam saingan Piala Malaysia musim lalu, saya sentiasa sukakan Bukit Jalil.

Tetapi dari segi kewangan Stanley Bernard (Ketua Pegawai Eksekutif KL City) berkata kami perlukan sekurang-kurangnya 20,000 atau 30,000 penonton untuk cover kos,”

katanya.

Tambahnya, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) juga telah menetapkan banyak peraturan untuk menganjurkan perlawanan itu, jadi ia akan menelan kos yang tinggi.

Dalam pada itu, beliau mengakui bahagian pertahanan kiri yang telah ditinggalkan oleh Daniel Ting berjaya diisi dengan baik oleh Declan Lambert.

Katanya, prestasi yang ditunjukkan Declan dan peningkatan Anwar Ibrahim, beliau kini tidak mempunyai masalah di posisi tersebut.

“Pada awal musim beliau memang bergelut di bahagian itu kerana beliau sentiasa memanaskan bangku simpanan di kelab lamanya, ini adalah normal bagi pemain yang tidak selalu beraksi.

Selepas beberapa bulan kita dapat lihat prestasi beliau meningkat, saya gembira kini kami mempunyai pemain-pemain yang baik di posisi tersebut termasuk Anwar.”

Sementara itu, mengenai desas-desus naturalisasi dua pemainnya, Romel Morales dan Paulo Josue, beliau berkata tiada masalah di pihaknya sekiranya kedua-dua pemain itu bakal melalui proses tersebut.

Beliau juga berkata, ia terpulang kepada ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon untuk menilai sama ada kedua-dua pemain itu layak bermain untuk Harimau Malaya.