Kejayaan KL City FC di pentas Piala AFC bukti Liga Malaysia bukan lagi ‘liga petani’ – Stuart Ramalingam

498

Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam mengakui bola sepak tanah air semakin berkembang apabila berlakunya transisi dari FA (Persatuan Bola Sepak) kepada FC (kelab bola sepak).

Menurut Stuart, sejak transisi kepada FC berlaku pasukan yang bermasalah sebelum ini kini mempunyai struktur yang lebih tersusun dan profesional.


“Kita dapat lihat apabila ada pergerakan ke arah korporat dan diswastakan kita dapat suasana yang lebih berstruktur dan profesional. Kita boleh lihat pasukan-pasukan yang bermasalah dahulu seperti Penang FC, PDRM FC, Sabah FC, Kelantan FC dan juga Perak FC diambil oleh orang korporat yang mana mereka telah membuat penstrukturan dengan betul.

Kita dapat lihat juga pasukan tanpa bajet besar dengan pengurusan yang betul seperti KL City FC kita telah bergerak jauh termasuk dalam saingan Piala AFC dan kini dengan merit kita tidak lagi boleh kata liga kita liga petani lagi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau pada masa sama turut mengucapkan tahniah buat skuad kendalian Bojan Hodak yang berjaya layak ke perlawanan akhir Piala AFC secara merit dan bakal menentang kelab gergasi dari Oman iaitu Al-Seeb.

Perlawanan akhir Piala AFC akan berlangsung pada 22 Oktober ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Dalam pada itu, Stuart yang ditanya mengenai status pasukan UiTM FC samada mereka akan terus kekal dalam saingan Liga Malaysia atau tidak, beliau berkata setakat ini pasukan universiti itu masih mahu terus beraksi.

“MFL sudah bertemu dengan pengurusan UiTM dua minggu lalu yang mana dalam mesyuarat tersebut UiTM telah menyuarakan hasrat mereka untuk meneruskan aksi mereka dalam Liga Malaysia tetapi kita tahu pasukan ini mempunyai organisasi yang berbeza daripada pasukan lain.

Pada masa ini apa yang dikemukakan oleh UiTM adalah mereka akan meneruskan saingan di Liga Malaysia.”

UiTM kini beraksi dalam saingan Liga Perdana dan pada musim hadapan mereka akan beraksi dalam siangan Liga Super pula selepas MFL melakukan penstrukturan liga untuk musim hadapan.

Sementara itu, Stuart turut mengulas lanjut mengenai tempoh transisi pasukan dari FA (Persatuan Bola Sepak) kepada FC (kelab bola sepak) pada tahun 2023 akan dinilai semula kerana keputusan itu itu dibuat sebelum pandemik COVID-19 melanda negara.

“Perkara itu sedang dibincangkan yang mana kita tahu jangka masa yang diberi sebelum COVID-19, tetapi dengan adanya COVID-19 selama dua tahun kita perlu halusi apa yang sedang berlaku dan juga peranan FA di dalam transisi.”

Ketika ini pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kelantan FC, Selangor FC, Kedah Darul Aman FC dan Perak FC adalah pasukan yang mempunyai pemilik baru dan dijangka lebih banyak kelab akan diswastakan sepenuhnya tidak lama lagi.