Stuart Ramalingam yakin Hamidin mampu menyumbang di peringkat ASEAN jika dilantik sebagai Ahli Majlis FIFA

590

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam percaya dan yakin Presiden Persatuan Bola Sepak Malayasia (FAM) iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin mampu memberi sumbangan besar dalam bola sepak ASEAN sekiranya beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Saya nak ucapkan selamat berjaya kepada Datuk Hamidin. Saya pernah bekerja bersama beliau selama tiga tahun di FAM sebagai Setiausaha Agung. Bagi saya beliau adalah calon yang tepat untuk membawa suara bola sepak di rantau kita supaya didengar di peringkat FIFA. Bukan hanya persatuan nombor satu atau dua dunia saja.

Ini kerana FIFA adalah badan yang membuat polisi jadi jika hanya persatuan utama di Asia sahaja yang ada, maka suara bola sepak ASEAN tidak akan kedengaran.

Saya harap beliau berjaya dalam kempen ini kerana saya yakin beliau memberi sumbangan besar dalam bola sepak ASEAN jika dilantik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu, Hamidin telah dicalonkan sebagai Ahli Majlis FIFA bagi pemilihan ahli jawatankuasa eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) penggal 2023-2027.


Dalam pada itu, Stuart turut mengulas mengenai laporan Konfederasi Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) yang mahu menganjurkan ASEAN Club Championship pada tahun ini yang mana beliau akan melihat polisi AFF terlebih dahulu.

“Jika polisi yang diambil AFF selari dengan kalendar kita (Liga Malaysia) dan selari dengan pembangunan bola sepak kita. Jika AFF mengambil kedudukan pasukan kelima, keenam dan ketujuh liga kita ia akan memberi lebih banyak peluang kepada kelab di Malaysia untuk bertanding di peringkat rantau ASEAN sebelum ke Asia.

Perkara ini pernah dibincangkan ketika saya memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung FAM pada tahun 2018-2019. Pada masa itu hala tuju adalah untuk memastikan kita buka lebih banyak peluang untuk kelab yang tidak masuk AFC Champions League (ACL) dan Piala AFC.”

Tambahnya lagi, jika ASEAN Club Championship menggunakan polisi sama seperti ACL dan Piala AFC, pasukan akan berdepan beban dengan jumlah perlawanan yang bertambah selain akan berlakunya pertindihan jadual.

Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini masih tiada perbincangan yang dilakukan oleh pihak MFL mengenai perkara ini kerana pihaknya masih belum lagi mendapat maklumat rasmi mengenai penganjuran ASEAN Club Championship.