Goh V Shem-Low Juan Shen selesa sebagai ‘independent player’, kuat untuk hadapi kritikan

342

Pasangan beregu lelaki Petaling Badminton Club, Goh V Shem-Low Juan Shen tiada masalah untuk terus bersaing meskipun kini bergelar sebagai pemain professional selepas keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Selaku pemain professional, Juan Shen sedar akan tugas yang perlu dilakukannya bagi memastikan beliau mampu untuk terus bertanding.


Beliau juga tenang dengan segala kritikan yang diterimanya terhadap prestasi beliau di beberapa kejohanan sebelum ini.

“Saya rasa sebagai ‘independent player’ bergantung kepada diri sendiri dalam menguruskan urusan seperti jurulatih dan penaja.

Saya tiada masalah untuk hadapi kritikan daripada peminat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Gandingannya bersama,V ShemV dengan mudah berjaya mengatasi lawan mereka yang merupakan wakil dari Thailand, Sena Bangkok Club yang turut membariskan pemain dari Malaysia, Tan Wee Kiong sebagai salah seorang pemain bertanding.

V Shem yang pernah berganding bersama Wee Kiong sebelum ini pernah merangkul pingat perak pada temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio.

Beliau percaya bahawa semua pemain yang sedang mewakili negara mempunyai peluang untuk meraih kejayaan yang lebih besar di masa hadapan terutama sekali di pentas Sukan Olimpik seterusnya di Paris pada tahun 2024.

“Semua pemain kena yakin kepada diri sendiri walaupun bertemu dengan lawan yang lebih sukar.

Jika fokus baik dan lebih bersedia, lebih mudah untuk menang.” kata V Shem.

V Shem juga berharap agar para peminat badminton di Malaysia dapat terus memberikan sokongan yang padu kepada wakil negara di mana-mana kejohanan selepas ini.

Laungan semangat penonton merupakan azimat terbaik yang diperlukan oleh kesemua pemain dalam mendapatkan motivasi buat mereka untuk beraksi dengan lebih baik.

“Mungkin kejayaan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik selaku juara dunia membuatkan para peminat lebih positif.

Saya harap selepas ini peminat akan lebih positif untuk menyokong pemain.”

V Shem/Juan Shen berjaya membantu pasukan Petaling Badminton Club mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir Malaysia Purple League tahun ini selepas menewaskan lawan dengan keputusan 11-8, 11-6 dan 11-4.

Juan Shen yang kini bergandingan bersama seorang lagi pemain berpengalaman, Goh Liu Ying baru sahaja pulang dari Terbuka Vietnam 2022.

Manakala, V Shem yang kini bersama Lim Khim Wah terkandas di saingan suku akhir Terbuka Vietnam tahun ini selepas kecundang di tangan sebuah lagi pasangan negara, Arif Junaidi-Muhammad Haikal.

Kejohanan ini akan menjadi medan persediaan terbaik buat kedua-dua pemain dalam menghadapi saingan yang akan mendatang.