Reza Pahlevi-Sabar Karyaman harap tragedi Kanjuruhan akan jadi pengajaran di masa depan

182

Pasangan beregu lelaki Ampang Jaya Badminton Club, Reza Pahlevi-Sabar Karyaman tidak dapat menyembunyikan kesedihan mereka terhadap tragedi menyayat hati yang baru berlaku baru-baru ini di Indonesia.

Tragedi tersebut telah meragut hampir 129 nyawa penyokong bola sepak yang hadir pada perlawanan di antara Arema FC menentang Persebaya Surabaya.


Sabar berharap agar peristiwa ini menjadi pengajaran terbaik supaya ia tidak akan lagi berulang di masa hadapan.

“Kami turut berduka cita dengan kejadian yang berlaku di Kanjuruhan dan kami berharap agar keluarga dapat bersabar dengan apa yang menimpa.

Semoga sukan di Indonesia dan seluruh dunia dapat menjadi lebih bijaksana di masa hadapan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, kedua-dua pemain ini berjaya mempamerkan aksi yang cukup menyakinkan selepas mudah menewaskan pemain beregu negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang mewakili pasukan Puchong United Badminton Club.

Kejayaan mereka berjaya membawa pasukan Ampang Jaya Badminton Club mara ke perlawanan akhir Malaysia Purple League tahun ini dan dijadual bertemu Petaling Jaya Badminton Club esok (8 Oktober).

Pencapaian ini akan menjadi azimat terbaik buat mereka untuk kembali memberi fokus dalam usaha bagi memperbaiki ranking.

“Untuk terakhir, kami mungkin bermain dalam kejohanan Terbuka Australia dan berharap semoga kami berjaya mencapai tahap tertinggi.

Kami berharap agar mendapat tempat di kedudukan 20 teratas dunia.”

Dalam pada itu, beregu kelahiran Indonesia ini tidak akan menjadikan media sosial sebagai penghalang untuk mereka terus mencapai kecemerlangan.

Sebaliknya, komen dan kritikan yang diberikan menerusi platform tersebut akan dijadikan sebagai pembakar semangat buat mereka untuk terus cemerlang.

“Kami cuba untuk menjadi lebih terbuka dan menerima sebarang komen dengan baik tidak terlalu terkesan dengan perkara tersebut.

Saya terima kritikan kerana ia mampu meningkatkan semangat saya untuk bermain.” kata Reza.

Terdahulu, gandingan ini berjaya memperoleh tempat ketiga pada kejohanan Terbuka Vietnam yang baru berlangsung pada 27 September sehingga 2 Oktober 2022.