Goh Jin Wei idam layak ke Sukan Olimpik, badan dan diet jadi kegusaran utama

186

Pemain perseorangan Ampang Jaya Badminton Club, Goh Jin Wei yakin dengan kemampuannya untuk mencapai kejayaan demi kejayaan selepas ini.

Jin Wei kini dilihat berjaya mendapat rentaknya semula selepas bangkit daripada masalah kesihatan yang dialaminya sebelum ini.


“Saya akan cuba untuk pergi sejauh yang mungkin dengan badan yang sihat kerana ia merupakan keutamaan saya buat masa ini.

Tahun depan adalah tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik, jadi saya berharap dapat berjaya di dalam setiap kejohanan yang saya sertai,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Diharap Jin Wei dapat terus memberikan aksi menyakinkan bagi menghidupkan peluang beliau untuk layak ke temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Pemain berusia 22 tahun ini sedang membiasakan diri dengan perubahan diet yang perlu diamalkan olehnya.

Perkara tersebut menyebabkan beliau berhadapan dengan sedikit masalah untuk mengekalkan tahap kecergasannya namun tidak akan menjadi penyebab beliau untuk mengalah.

“Perkembangan saya buat masa ini hanya cuba untuk membiasakan diri dengan diet, kehidupan mesti diteruskan dan saya rasa saya boleh membiasakan diri dengan perkara tersebut.”

Jin Wei berjaya menundukkan pesaingnya, Soniia Cheah pada aksi separuh akhir Malaysia Purple League 2022 untuk menyumbang mata buat pasukannya dan membawa Ampang Jaya Badminton Club ke perlawan akhir esok (9 September).

Pemain kelahiran Pulau Pinang tersebut perlu memastikan beliau berada di tahap yang terbaik melalui disiplin ketat yang perlu dipatuhinya.

“Setakat ini, halangan utama saya adalah badan sahaja dan diet.

Kadang-kadang sewaktu bermain saya boleh pitam dan perkara tersebut membuatkan saya risau.”

Masalah kesihatan beliau menjadi penyebab utama pengunduran dirinya daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan memilih untuk bersara pada tahun 2021 di usia 21 tahun.

Namun, semangat tidak mudah mengalah menjadi kekuatan utama untuk beliau kembali bersaing di gelanggang.

Jin Wei yang pernah meraih gelaran juara remaja dunia kini menjadi salah seorang harapan utama dalam menggalas cabaran negara di kejohanan-kejohanan yang akan datang.

Dengan prestasi semasa yang ditunjukkan oleh beliau, tidak mustahil untuknya kembali berada di kedudukan teratas dunia bagi acara perseorangan wanita.