Chen Tang Jie satu-satunya pemain BAM di Malaysia Purple League, hargai peluang bergandingan bersama Lai Pei Jing

285

Pemain beregu campuran Petaling Badminton Club, Chen Tang Jie gembira dengan peluang yang dimiliki olehnya untuk bergandingan bersama pemain berpengalaman seperti Lai Pei Jing.

Tang Jie yang merupakan pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 2021.


“Kejohanan ini sangat menarik dan kehadiran pemain dari luar negara.

Saya dan Pei Jing tidak berpeluang untuk bersama di kejohanan BWF jadi peluang ini sangat baik untuk kami,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pengalaman yang dimiliki oleh Pei Jing serta kekuatan serangan Tang Jie menjadi antara sumber kekuatan utama buat pasangan ini cemerlang di kejohanan ini.

“Saya rasa beliau sudah berada di tahap yang sangat konsisten, saya lakukan bahagian saya untuk menyokong beliau di bahagian belakang.

Ini yang saya rasa kekuatan kita sebagai sebuah pasukan.”

Sebelum ini, terdapat khabar angin yang menyatakan bahawa mana-mana pemain BAM dilarang daripada menyertai kejohanan ini.

Namun, setakat ini masih tiada sebarang komen daripada Pengarah Kejurulatihan Beregu badan induk tersebut, Rexy Mainaky berkenaan situasi ini.

Tambahan pula, kejohanan sebegini adalah peluang terbaik buat para pemain untuk terus meningkatkan kualiti permainan mereka tatkala berhadapan dengan lawan yang lebih mencabar.

“Sebenarnya Tang Jie tidak mendapat sebarang perkhabaran mengenai perkara ini.

Mungkin pengurus pasukan dan Coach Rexy telah berbincang untuk mendapatkan kata sepakat.”

Gandingan kedua-dua pemain ini berjaya menghadiahkan kemenangan berharga yang berjaya membawa pasukan Petaling Badminton Club ke perlawanan akhir esok (9 Oktober) untuk bertemu sebuah lagi pasukan pilihan, Ampang Jaya Badminton Club.