Cheam June Wei idam menangi satu kejuaraan tahun ini, kembali bangkit selepas bergelut seketika

202

Pemain perseorangan Petaling Badminton Club, Cheam June Wei bertekad untuk menggegar arena badminton antarabangsa menuju ke penghujung tahun ini.

Beliau yang masih mempunyai baki beberapa kejohanan sebelum tahun hadapan mempunyai matlamat tersendiri yang ingin dicapai.


“Saya masih mempunyai baki 3-4 kejohanan selepas ini, jadi saya berharap untuk memenangi sekurang-kurangnya satu kejuaraan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga gembira dengan prestasi dan persembahan semasa beliau pada beberapa kejohanan sebelum ini.

Pemain berusia 25 tahun tersebut akan terus berusaha untuk memberikan aksi yang terbaik untuk kembali cemerlang di pentas antarabangsa.

“Saya rasa persembahan saya semakin bertambah baik kerana sebelum ini saya sedikit bergelut selepas keluar daripada BAM.

 Saya harap untuk dapat keputusan yang lebih baik selepas ini.”

June Wei membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada penghujung tahun 2021 untuk membawa Haluan sendiri selepas beliau gagal mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) ketika itu.

Kesempatan tersebut digunakan oleh beliau untuk berangkat ke Dubai bagi menyertai kem latihan bersama pemain No. 1 Dunia, Viktor Axelsen.

Meskipun cemerlang di tangga teratas dunia, June Wei percaya bahawa akan ada pemain yang akan berjaya menghentikan dominasi pemain Denmark tersebut.

“Sudah semestinya setiap pertandingan adalah berbeza dan sebagai seorang manusia, mustahil untuk kita memenangi kesemua perlawanan.

Sama-sama kita nantikan bila dan siapa yang akan kalahkan beliau kerana setiap perlawanan tidak sama.”

Ini merupakan kali pertama June Wei melayakkan diri ke perlawanan akhir Malaysia Purple League semenjak kemunculan pertamanya.