Yew Sin-Ee Yi ada terima tawaran dari BAM, cuba cari peluang dapatkan keputusan ‘win-win’

794

Beregu lelaki Puchong United Badminton Club, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mengakui ada lakukan perbincangan bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Namun, perkara ini masih belum mendapat sebarang kata putus tatkala proses rundingan masih berlangsung.


“Setakat ini kita masih dalam perbincangan sebab BAM ada jemput untuk kita berlatih tetapi ada beberapa aspek yang perlu difikirkan.

Kami akan cari cara yang paling baik untuk dapatkan situasi win-win kerana kita juga berfikir tentang pemain profesional yang berlatih bersama kita sebelum ini,”

kata Yew Sin kepada Harimau Malaya.

Ee Yi dan Yew Sin selepas ini bersaing di kejohanan Terbuka Denmark bermula pada 18 Oktober 2022 ini.

Mereka yang baru sahaja berjaya memperbaiki ranking ke tempat kesembilan dunia perlu mengekalkan monentum ini untuk cemerlang di kejohanan yang bakal disertai.

Mata-mata yang diperoleh adalah penting bagi menentukan peluang mereka untuk layak ke pusingan akhir World Tour hujung tahun ini.

“Saya rasa kita tidak akan berfikir tentang World Tour terlebih dahulu kerana setiap kejohanan yang kita sertai memang akan memberi mata.

Setiap kejohanan adalah penting buat kami, kami akan cuba berikan yang terbaik untuk pergi lebih jauh.”

Kekalahan kepada pasangan beregu Ampang Jaya Badminton Club, Reza Pahlevi-Sabar Karyaman yang berasal daripada Indonesia tidak akan mematahkan semangat kedua-dua pemain Malaysia ini.

Meskipun berada di ranking yang lebih rendah, beregu Indonesia tersebut pernah melakukan kejutan ke atas nama besar dalam acara beregu lelaki dunia.

“Kedua-dua mereka adalah pemain yang bagus sebenarnya kerana mereka pernah mengalahkan juara Terbuka England sebelum ini.

Kami cuba bermain dengan baik tetapi sekurang-kurangnya kita memperoleh sesuatu daripada perlawanan ini.” kata Ee Yi.

Berdasarkan ranking semasa, Ee Yi-Yew Sin berada di kedudukan terbaik untuk layak ke pusingan akhir World Tour namun mereka diikuti rapat oleh pencabar senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin yang berada satu tangga di belakang mereka.

Daripada lapan penyertaan di dalam setiap acara, hanya dua wakil dari setiap negara sahaja akan berjaya melayakkan diri.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara secara automatik selepas berjaya menjadi Juara Dunia baru-baru ini, bermakna slot kedua masih terbuka dan perlu direbut oleh dua pasangan ini.