Chou Tien Chen tidak ambil tahu komen di media sosial, gembira dengan penerimaan di Malaysia

389

Pemain perseorangan lelaki Ampang Jaya Badminton Club, Chou Tien Chen tidak akan menjadikan media sosial sebagai halangan untuknya terus memperbaiki prestasi.

Media sosial memudahkan peminat berhubung dengan pemain namun ada segelintir yang menyalah guna platform tersebut untuk melontar kecaman dan cacian.


“Saya hanya abaikan segalanya kerana kita sebagai pemain hanya bermain di atas gelanggang dan beri fokus pada setiap pukulan.

Anda tidak berikan memberi fokus kepada media sosial dan itu apa yang saya lakukan sekarang untuk kekal fokus dan pertingkatkan persembahan saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Meskipun mencapai tahap kegemilangan sedikit lambat di usia 28 tahun, Tien Chen tetap berjaya memberi impaknya yang tersendiri terhadap arena badminton antarabangsa.

2019 merupakan salah satu tahun kegemilangan buat Tien Chen yang berjaya berada di kedudukan kedua dunia pada ketika itu.

Tien Chen berjaya membantu pasukan Ampang Jaya Badminton Club untuk dinobatkan sebagai juara pada edisi kali ini.

Kejayaan ini merupakan pencapaian terbesar buat pasukan tersebut yang kali pertama merangkul gelaran berprestij ini.

“Saya rasa saya belajar daripada perlawanan sebelum ini kerana ia merupakan salah sebuah pengalaman yang baik untuk saya.

Saya mengubah strategi dan taktik, saya gembira kerana ia berkesan pada hari ini.”

Pada masa yang sama, pemain kelahiran Chinese Taipei tersebut nyata teruja dengan  sokongan yang diterima olehnya di Malaysia.

Edisi Malaysia Purple League tahun ini merupakan kali ketiga buat pemain berusia 32 tahun tersebut.

“Saya berasa seperti seorang warganegara Malaysia, semua orang menyokong saya kerana saya bermain buat pasukan di Malaysia.

Bagus untuk melihat semua orang dapat bermain kerana badminton adalah sebuah sukan kegemaran ramai, saya sangat berbangga untuk berada di sini.”