Apa akan jadi pada NFDP dalam tempoh beberapa tahun akan datang selepas pemergiaan Saad Ichalalene, Dennis Bekking & Abdi Hassan?

826

Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) merupakan program pembangunan bola sepak akar umbi yang cukup berjaya di Malaysia.

Ia ditubuhkan bagi meningkatkan kualiti bola sepak negara dengan melatih pemain dari pelbagai peringkat umur (akar umbi) dengan objektif utama untuk menghasilkan ramai pemain bertaraf dunia dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.


Pemain-pemain yang terpilih untuk berada dalam program NFDP ini mempunyai peluang untuk bermain dalam pelbagai pertandingan di peringkat nasional dan juga antarabangsa.

Kehebatan yang ada pada NFDP tidak dapat dinafikan lagi, namun baru-baru ini ramai yang mula gusar apabila kontrak tiga individu terpenting iaitu Saad Ichalalene, Dennis Bekking dan Abdi Hassan tidak lagi disambung.

Saad merupakan Pengarah Teknikal NFDP, manakala Dennis pula Pengarah Teknikal AMD, sementara Abdi adalah Ketua Pencari Bakat & Jurulatih Metodologi.

Selepas kontrak mereka tidak disambung, pasukan Liga Super iaitu Selangor FC tidak menunggu lama untuk menandatangani Dennis sebagai Pengarah Teknikal untuk pasukan itu.

Manakala Saad pula sebelum ini dikatakan mungkin akan menyertai pasukan juara Liga Super 2022, Johor Darul Ta’zim (JDT). Namun ia masih belum dapat disahkan.

Keputusan itu dibuat oleh Kementerian Beliau & Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) atas alasan kekangan bajet serta jurulatih tempatan sudah mendapat tunjuk ajar oleh ketiga-tiga mereka untuk menggalas tanggungjawab itu.

Persoalannya di sini siapakah tenaga tempatan yang akan menggantikan ketiga-tiga mereka ini dan mampukah mereka meneruskan legasi tersebut.

Saad, Dennis dan Abdi telah membuktikan kemampuan mereka selepas mengambil alih tugas daripada Lim Teong Kim pada tahun 2018.

Banyak kejayaan yang telah dikecapi oleh NFDP sejak dibawah ketiga-tiga mereka ini termasuk kejayaan skuad B-16 negara yang telah berjaya layak ke Piala Asia B-17 2023 semalam selepas membelasah Indonesia 5-1 sekaligus menjadi juara kumpulan.

Apa sahaja keputusan yang dibuat oleh KBS dan MSN untuk tidak menyambung kontrak mereka ini diharap telah mengambil kira kesemua kemungkinan dan sudah bersedia dengan pengganti yang setaraf atau lebih baik daripada mereka.

Ini kerana NFDP mempunyai reputasi yang cukup cemerlang di peringkat antarabangsa, jadi diharap jangan ada pihak mahu ambil kesempatan untuk diri sendiri yang mana akhirnya ia akan ‘menjahanamkan’ segala usaha keras yang sudah dilakukan sebelum ini.

Kini ramai yang tertanya-tanya apakah yang akan berlaku pada NFDP dalam tempoh beberapa tahun akan datang ini.

Mampukah NFDP terus melahirkan ramai pemain berkualiti bertaraf antarabangsa? Atau sebaliknya?

Tiada siapa yang lebih besar dari kelab (NFDP & AMD), jadi sesiapa sahaja yang dilantik nanti diharap akan meneruskan DNA sedia ada dan meningkatkan lagi kualiti sekaligus dapat meningkatkan mutu bola sepak tanah air.