Komunikasi yang ‘transparent’, pengurusan permainan antara elemen utama pastikan kestabilan pasukan – Izzat Salihuddin

269

Bekas penolong pengurus pasukan bola sepak wanita Selangor FC, Izzat Salihuddin percaya ketelusan dalam komunikasi merupakan asas terpenting bagi memastikan kestabilan dan kelancaran urusan dalam mengendalikan sesebuah pasukan.

Elemen ini tidak sahaja memfokuskan kepada pasukan wanita malah terbuka kepada pasukan lelaki yang turut mempunyai corak pengurusan serupa.


“Kita perlu jujur dengan diri sendiri dan orang ramai terhadap kemampuan sesuatu perkara.

Saya cuba jadi transparent dengan para pemain, sama juga dengan stakeholder kerana kita tidak boleh menjanjikan sesuatu kejayaan jika data yang dikumpul menunjukkan sebaliknya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sekiranya kesemua pihak yang bertanggungjawab ke atas sesebuah pasukan dapat berpegang kepada perkara ini, pelbagai kelebihan dan manfaat yang lebih besar dapat diperolehi dengan begitu mudah tanpa sebarang gangguan yang besar dan mencabar.

Terutama sekali dalam membina sokongan dan kepercayaan semua orang terhadap kemampuan pasukan untuk mempamerkan aksi yang baik dan memuaskan.

“Bila kita berjaya menguruskan jangkaan setiap pihak, di situ kita akan berhasil untuk menyakinkan semua orang untuk turut serta di dalam misi kita.

Disebabkan itu, penyokong tetap sedar bahawa pemain telah lakukan yang terbaik walaupun kami hanya berjaya mendapat tempat keempat.”

Pada masa yang sama, Izzat turut berkongsi tentang sebuah lagi faktor utama yang menentukan kejayaan sesebuah pasukan.

Selain daripada kemahiran seorang jurulatih dalam mengendalikan latihan dengan baik dan berkesan, elemen seperti pengurusan permainan di dalam padang juga memainkan peranan besar dalam memacu ke arah kejayaan.

“Banyak jurulatih boleh sampaikan pengetahuan yang baik dan membantu membangunkan pasukan tetapi ia berbeza dengan game management.

Sebagai contoh, untuk pertukaran pemain perlukan strategi dan bukan sekadar kerana pemain penat tetapi mengambil kira dari faktor seperti produktiviti pemain di atas padang dan sebagainya.”

Beliau juga berharap agar kesemua pihak yang bertanggungjawab ke atas sesebuah pasukan seperti jurulatih dan pengurusan perlu lebih cakna terhadap peranan masing-masing.

Ini kerana, ada di antara mereka yang cenderung untuk melampaui had dan mencampuri urusan yang tidak berada di bawah bidang kuasa mereka sehingga menjejaskan sesuatu keputusan.

Campur tangan seperti inilah yang kadang-kadang menyebabkan perancangan atau pelan yang dirangka tidak membuahkan hasil seperti yang diimpikan.

“Setiap pihak dalam bola sepak ini perlu tahu masa yang sesuai untuk campur tangan dan bila untuk mereka tidak masuk campur.

Kita perlu mula menghargai kepelbagaian cara berfikir setiap orang, kadang-kadang pengurusan atau jurulatih cenderung untuk masuk campur perkara yang tidak sepatutnya.”

Izzat mula berkecimpung di dalam arena bola sepak wanita sewaktu menguruskan pasukan FC SWOT di FAS Women Super League. 

Kejayaan beliau menguruskan pasukan tersebut membolehkan beliau dibawa masuk di dalam barisan pengurusan pasukan bola sepak wanita Gergasi Merah bagi menghadapi saingan Liga Wanita Nasional dan Piala Tun Sharifah Rodziah tahun ini.

Pengalamannya ini membolehkan beliau menyedari akan kualiti dan keupayaan golongan wanita untuk bermain serta bersaing di peringkat yang lebih tinggi dan tidak terhad kepada Liga Sosial semata-mata.

“Sebenarnya daya serapan terhadap kefahaman bola sepak di kalangan pemain wanita adalah sama dengan pemain lelaki dan adakalanya mereka lebih baik.

Ia hanya bergantung kepada pengalaman, kekerapan menonton perlawanan serta minatnya terhadap sukan ini.”