Scout Belanda sedar potensi Arif Aiman, 3 kelab Eropah dilihat jadi pilihan terbaik buat beliau

5,227

Pemain sayap Johor Darul Ta’zim FC, Arif Aiman terus membuktikan kemampuan beliau di atas padang selepas berjaya membantu pasukannya mudah membenam Kedah Darul Aman FC 4-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim semalam (11 Oktober).

Meskipun baru mencecah usia 20 tahun, ketajaman dan kelincahan beliau terus ditagih bukan sahaja buat skuad Harimau Selatan malah sebagai nadi kepada kejayaan pasukan kebangsaan.


Lebih membanggakan, potensi yang dimilikinya ini disedari oleh seorang pencari bakat atau lebih dikenali sebagai scout yang berasal dari Belanda.

Mereka merasakan bahawa Arif perlu melebarkan sayapnya keluar daripada Liga Malaysia dan mendapatkan peluang bermain di Eropah.

Liga utama Belanda dan Belgium serta divisyen dua Jerman merupakan antara saingan yang dilihat bersesuaian bagi membantu pemain muda tersebut dalam meningkatkan lagi kebolehan beliau.

Berdasarkan analisis yang dilakukan, ada beberapa kelab yang dilihat relevan telah disebut oleh individu tersebut.

Antaranya adalah kelab Vitesse yang kini berada di tangga ke-16 dalam saingan liga utama Belanda selepas sembilan perlawanan musim baru.

Vitesse merupakan antara kelab yang cukup dikenali di Belanda dengan kejayaan mereka melayakkan diri sebanyak 14 kali ke dalam saingan UEFA Europa League dan kali terakhir bersaing di kejohanan tersebut pada musim 2017/2018.

Musim lepas, Vittese berjaya mendapat tempat di dalam saingan UEFA Conference League namun perjalanan mereka terhenti di peringkat kumpulan sahaja.

Kelab ini boleh dianggap pilihan yang agak baik buat Arif kerana ketua jurulatihnya, Philip Cocu gemar menggunakan pemain muda di dalam skuadnya dengan purata umur 22.44.

Namun, cabaran besar buat Arif adalah untuk menyesuaikan diri kerana skuad utama kelab ini tidak memiliki mana-mana pemain yang datang dari benua Asia.

Sekiranya Arif berhijrah ke Vitesse, beliau akan menjadi pemain Asia pertama yang bakal beraksi buat kelab ini.

Selain Vitesse, Royale Union Saint Gilloise yang kini beraksi di dalam saingan Liga Belgium turut dicanang sebagai salah sebuah kelab yang sesuai.

Pasukan ini berada di tangga keempat buat masa ini selepas berjaya mengumpulkan tujuh kemenangan daripada 11 perlawanan yang telah berlangsung setakat ini.

Selepas menjadi juara divisyen dua Belgium pada musim 2020/2021, mereka terus berjaya menunjukkan kebangkitan luar biasa di dalam saingan divisyen utama pada musim 2021/2022 selepas muncul naib juara meskipun masih memegang status selaku pendatang baru.

Kelab ini memiliki seorang pemain Asia daripada Jepun, Koki Machida yang beraksi selaku pertahanan tengah pasukan.

Terdahulu, seorang lagi pemain Jepun yang kini beraksi di Liga Perdana Inggeris bersama Brighton & Hove Albion, Kauro Mitoma pernah beraksi bersama kelab ini secara pinjaman.

Mitoma cemerlang bersama Union Saint Gilloise selepas berjaya mencatatkan lapan jaringan serta empat bantuan gol daripada 29 perlawanan.

Kejayaan ini yang telah berjaya membuka mata banyak pasukan yang cuba mendapatkan khidmat beliau serta membolehkan beliau dipanggil untuk mewakili skuad utama Jepun.

Tidak mustahil kejayaan yang sama mampu dicapai oleh Arif yang ternyata memiliki kebolehan yang cukup memukau dan mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Akhir sekali, Fortuna Dusseldorf yang bersaing di dalam divisyen kedua Jerman turut disenarai sebagai antara pilihan yang baik buat Arif.

Dengan purata umur pemain 25.3, kelab ini dianggap sesuai sebagai medan untuk Arif mengumpul pengalaman beraksi di Eropah yang cukup terkenal dengan saingan kompetitif meskipun di peringkat bawahan.

Tambahan pula, terdapat dua pemain muda Jepun yang turut beraksi bersama kelab tersebut buat masa ini.

Faktor ini sedikit sebanyak mampu membantu Arif untuk dapat menyesuaikan diri dengan segera tanpa berhadapan dengan masalah yang mampu menjejaskan rentak kecemerlangannya.

Kelab ini pernah muncul sebagai selaku juara divisyen dua sebanyak dua kali pada musim 1988/1989 dan terbaru adalah pada musim 2017/2018 yang lalu.

Mungkin saingan di kelab Jerman ini tidak sebegitu sengit berbanding dua lagi kelab di Belanda dan Belgium, namun suasana dan cabaran di negara tersebut tetap mampu membantu dalam membentuk pemain muda negara itu melangkah lebih jauh.

Walaupun ini hanyalah cadangan semata-mata, ia tetap menjadi kebanggan buat peminat bola sepak Malaysia kerana bakat-bakat muda negara semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Fasiliti dan kemudahan yang dimiliki oleh pasukan JDT buat masa ini dilihat mencukupi dalam usaha untuk terus menyokong pembangunan pemain tersebut.

Semoga kejayaan Arif ini dapat menjadi inspirasi buat lebih ramai pemain muda di Malaysia untuk terus membuktikan kemampuan mereka di peringkat yang lebih tinggi.