Parlimen dibubarkan, nasib beberapa persatuan bola sepak negeri di bawah ahli politik terus jadi tanda tanya

1,066

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pembubaran Parlimen yang terus berkuat kuasa pada Isnin lalu (10 Oktober) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk berlangsung tidak lama lagi.

Sejurus selepas perkara ini diumumkan, timbul tanda tanya di kalangan peminat bola sepak Malaysia berkenaan hala tuju dan masa depan beberapa buah kelab yang diuruskan oleh ahli politik.


Terutama sekali, inidvidu yang cukup ‘terkenal’ di kalangan penyokong bola sepak Malaysia buat masa ini iaitu Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sepanjang memegang tampuk kepimpinan persatuan tersebut, beliau berjaya mencapai beberapa kejayaan antaranya menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain yang pernah tertunggak hampir empat bulan.

Sanusi juga berjaya mencari alternatif dalam usaha mengumpulkan dana yang mencukupi bagi menampung bayaran yang diperlukan untuk mendapatkan lesen dan bermain di Liga Malaysia (Liga M).

Selain itu, beliau berjaya memperkenalkan program pembangunan bola sepak dan salah satunya adalah dengan penganjuran Widad K-League 2022 yang mendapat sambutan memberangsangkan dari orang ramai.

Sanusi dikenali dengan telatah beliau dalam berbalas komen dengan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim FC, Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebelum ini.

Jikalau berlaku perubahan sewaktu PRU15 kali ini, berkemungkinan besar untuk peminat tidak dapat lagi menyaksikan perseteruan di antara kedua-dua individu ini.

Selain Kedah, yang turut berhadapan dengan keadaan yang lebih kurang sama adalah Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang dipegang oleh Datuk Seri Bung Moktar.

Bung Moktar dilihat telah memberi sokongan yang cukup tinggi dalam usaha untuk kembali menjulang pasukan Sabah FC kembali ke tangga teratas saingan Liga M selepas beberapa musim kecundang.

Peningkatan luar biasa berjaya ditunjukkan oleh pasukan Sabah FC musim ini dengan pencapaian kekal di tangga kedua buat masa ini dan mempunyai peluang cerah untuk layak ke Piala AFC musim depan.

Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang diketuai oleh, Yb Khalid Samad dilihat akan turut terkesan.

Khalid merupakan antara ‘penyokong tegar’ pasukan KL City FC yang sering hadir ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur bagi memberikan sokongan.

Malah, beliau turut berada di Uzbekistan ketika pasukan KL City berjaya melakukan kejutan ke atas Sogdiana Jizzakh untuk layak buat pertama kali ke perlawanan akhir Piala AFC.

Lebih menarik, Khalid bukan satu-satunya ahli politik yang terlibat dengan bola sepak Kuala Lumpur selepas Datuk Seri Shahidan Kassim dilantik sebagai penaung KL City.

Ada lagi beberapa persatuan bola sepak negeri seperti Terengganu yang kini dipegang oleh YAB Dr Ahmad Samsuri sebagai Presiden.

Pengurus Terengganu FC, Haji Mohd Fadhil Wahab yang baru dilantik pada penghujung tahun lepas juga merupakan seorang ahli politik.

Suka untuk kita lihat bagaimana situasi semasa ini dapat memberi kesan kepada hala tuju dan masa depan bola sepak di negeri-negeri terbabit.

Harapnya tidak berlaku sebarang masalah seperti tunggakan gaji dan sebagainya seperti mana yang terjadi sebelum ini.

Sekiranya berlaku peralihan di dalam barisan kepimpinan persatuan, peminat semestinya berharap agar seseorang yang dapat memacu bola sepak ke arah yang lebih baik dan bukan sekadar atas tiket ‘raih undi’ semata-mata.

Meskipun persatuan negeri dan kelab telah dipisahkan selepas penswastaan, namun tidak dinafikan kedua-dua badan ini tetap perlu bekerjasama dalam usaha meningkatkan kualiti bola sepak di negeri masing-masing.