Brad Maloney bukan tidak bagus, cuma tidak dapat bawa pemain yang dimahukan

2,665

Bekas ketua jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney kini cemerlang selepas dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan B-17 Australia Ogos lalu.

Beliau berhasil melepasi cabaran pertamanya selepas berjaya membawa pasukan B-17 Australia layak ke Piala Asia B-17 tahun hadapan.


Maloney membimbing pasukan kendaliannya dengan cukup menyakinkan selepas mereka mencatatkan rekod bersih tanpa sebarang kekalahan sepanjang tiga perlawanan.

Lebih menarik, pasukan kendaliannya berjaya mengumpul 36 gol keseluruhan dan hanya dibolosi sekali daripada kesemua perlawanan yang dihadapi.

Kejayaan terbesar adalah sewaktu mereka membelasah pasukan Northern Mariana Islands pada perlawanan kedua dengan jaringan 23-0 serta menang mudah ke atas pasukan Kemboja juga dengan keputusan yang selesa 10-0.

Keputusan ini sedikit sebanyak memperlihatkan kemampuan sebenar pengendali berasal dari Australia tersebut serta membuktikan bahawa kegagalan beliau sebelum ini bersama pasukan Malaysia adalah disebabkan faktor yang lain.

Yang ketara adalah sewaktu beliau menguruskan pasukan muda negara, Maloney tidak berpeluang untuk mendapatkan khidmat pemain yang dikehendakinya.

Ada pasukan yang tidak sanggup untuk memberi kerjasama dalam melepaskan beberapa orang pemain yang dianggap sebagai aset utama buat kelab.  

Selain kelab, masalah dokumentasi turut menjadi isu utama yang menghalang Maloney mendapatkan pemain yang diinginkan.

Sebagai contoh, beliau pernah memanggil pemain kacukan Malaysia-Finland, Nooa Laine untuk turun berlatih bersama dan menyatakan minatnya terhadap pemain tersebut.

Namun, proses dokumentasi yang panjang dan gagal diselesaikan dalam tempoh sepatutnya menyebabkan Maloney terpaksa melupakan khidmat pemain tersebut.

Kesannya, beliau tidak berjaya menghasilkan sebuah pasukan yang lengkap dari segala aspek dan mampu memberi saingan kepada pasukan lawan.

Kegagalan Maloney bermula sewaktu beliau tidak berjaya membawa anak buahnya untuk memenangi pingat emas di temasya Sukan SEA yang berlangsung pada awal tahun.

Kemudian, beliau juga tidak dapat membantu pasukan B-23 negara untuk beraksi cemerlang di saingan Piala Asia B-23 tahun ini selepas mereka sekadar menjadi pelengkap kumpulan.

Kini, beliau bakal menjadi pesaing kepada ketua jurulatih B-17 negara, Osmera Omaro yang berjaya membawa pasukannya untuk turut layak ke Piala Asia B-17 tahun hadapan.

Tidak mustahil undian yang bakal dilakukan akan menemukan dua jurulatih ini pada kejohanan tersebut yang dijadual berlangsung pada Mei depan.

Kalau perkara tersebut berlaku, menarik untuk peminat Malaysia saksikan ‘reunion’ ini.